Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:36pm
Mohamad Sabu ketika ditemui wartawan selepas pembentangan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

JHEV ATM bakal laksana bayaran elaun PJM - Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR: Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) bertanggungjawab melaksanakan pemberian Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2020 hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata elaun itu akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2020, namun pembayaran hanya dapat mula dilaksanakan selepas kementerian menerima peruntukan berkenaan.

“Elaun Kenangan PJM ini hanya diberikan kepada penerima PJM yang masih hidup pada tarikh elaun ini dikuatkuasakan dan akan terhenti apabila penerima PJM meninggal dunia.

“Untuk penerima PJM yang masih berkhidmat, elaun ini akan hanya dibayar selepas pegawai terbabit tamat perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, JHEV ATM bertanggungjawab melaksanakan pemberian Elaun Kenangan PJM yang dibuat secara ‘one-off’ (sekali bayaran) itu.


JHEV ATM bertanggungjawab melaksanakan pemberian Elaun Kenangan PJM sebanyak RM500. - NSTP/L Manimaran

“Kementerian juga berterima kasih kepada kerajaan atas peningkatan jumlah peruntukan pertahanan sebanyak 12 peratus kepada RM15.6 bilion berbanding RM13.9 bilion tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, RM12.5 bilion adalah peruntukan Belanja Mengurus manakala RM3.08 bilion adalah Belanja Pembangunan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 tadi, turut diumumkan peruntukan RM150 juta bagi membaiki dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada penerima Bantuan Harapan Negara dalam kalangan veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.

Berita Harian X