Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:38pm
MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama orang ramai menonton siaran langsung Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi televisyen di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama orang ramai menonton siaran langsung Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi televisyen di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

Belanjawan 2020 bersifat inklusif, banyak manfaat pada rakyat

[email protected]

MUAR: Belanjawan 2020 disifatkan cukup inkslusif dan berupaya memberi banyak manfaat kepada segenap lapisan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata kerajaan negeri turut bersyukur kerana menerima `buah tangan’ daripada Kerajaan Persekutuan dalam belanjawan berkenaan.

“Peruntukan RM42 juta bagi rawatan kumbahan di Sungai Segget bakal menyaksikan berlakunya tranformasi di kawasan berkenaan, sekali gus memberi manfaat kepada Bandaraya Johor Bahru.

“Malah, Johor juga bakal memiliki perpustakaan digital melalui peruntukan RM70 juta untuk membina 14 pusat peningkatan digital sehenti di seluruh negara.

“Ini membolehkan lahirnya masyarakat celik digital, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya pada sidang media selepas mengikuti pembentangan Belanjawan 2020, di sini hari ini.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, berkata Johor juga akan menerima RM85 juta yang diperuntukkan Kerajaan Pusat tahun depan bagi melancarkan aliran trafik kenderaan, khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Kita akan menggunakan peruntukan itu dengan sebaik mungkin. Ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan di CIQ kelak.

“Johor juga menyambut baik hasrat Kerajaan Pusat meneruskan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura. Ia berita baik untuk warga Johor,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih di atas peruntukan RM30 juta bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia.

“Insentif ini amat diperlukan terutama apabila negara khususnya Johor dikejutkan dengan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dan masalah jerebu. Ini membuktikan kepemimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri mengambil ikhtibar dengan kejadian yang berlaku.

“Kita juga bersyukur apabila sebanyak RM95 juta untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian. Ini sekali gus dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat di daerah Pontian,” katanya.

Mengenai ketiadaan peruntukan untuk dua acara utama di Johor tahun depan iaitu Sukan Malaysia (SUKMA) dan Tahun Melawat Johor, Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan acara besar itu dapat dilangsungkan dengan lancar.

“Belanjawan 2020 tidak menyebut secara khusus mengenai SUKMA dan Tahun Melawat Johor. Namun, Insyallah hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, kita akan buat perbincangan khusus bagi melaksanakan dua acara mega itu,” katanya.

Berita Harian X