Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:30pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Perbelanjaan berhemah dipastikan dalam peruntukan PDRM - KPN

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan berhemah menjadi teras utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah memastikan peruntukan disalurkan kepada pasukan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Ia seiring dengan dasar kerajaan yang menetapkan perbelanjaan secara bijak dan mengikut keperluan sewajarnya untuk semua kementerian serta agensi kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata dengan peruntukan yang diberikan PDRM akan terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan yang diberikan, seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, semasa pembentangan Belanjawan 2020, hari ini.

“Belanjawan bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama’ ini bakal memberikan manfaat kepada lebih 130 ribu warga PDRM,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, PDRM turut menghargai peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM16.9 bilion bagi sektor pertahanan dan keselamatan awam serta bayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Katanya, antara manfaat yang diperoleh PDRM menerusi Belanjawan 2020 itu adalah peruntukan RM50 juta kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi menambah baik prosedur serta kemudahan tahanan khususnya pemasangan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

“Selain itu, kenaikan kadar bantuan sara hidup (COLA) RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan RM350 juta setahun serta kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) 76 hari untuk ganjaran wang tunai kepada penjawat awam yang berkhidmat 15 tahun ke atas turut diberikan.

“Peruntukan RM250 juta untuk membaiki dan menyelenggara kuarters PDRM serta pemberian pergerakan gaji tahunan (PGT) diawalkan sebelum tarikh pergerakan gaji kepada penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan,” katanya.

Abdul Hamid berkata faedah ex-gratia kematian kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bernilai sehingga RM150,000 turut memberi manfaat kepada waris.

Berita Harian X