Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:53pm

Kerajaan bukti komitmen usaha perkasakan belia

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 disifatkan amat menyebelahi denyut nadi golongan muda dan industri sukan tanah air kerana menyelitkan lima berita gembira berhubung perkara itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata tekad kerajaan membela generasi pelapis negara dicerminkan melalui komitmen mencipta lebih banyak peluang pekerjaan menerusi peruntukan khas berjumlah RM6.5 bilion yang majoritinya bakal dimanfaatkan anak muda.

“Ada banyak berita baik daripada belanjawan anak muda 2020. Dana khas RM6.5 bilion untuk cipta 350,000 peluang pekerjaan ini majoritinya (manfaat) akan pergi kepada golongan anak muda. Alhamdulillah,” katanya menerusi akaun Twitter rasmi beliau @SyedSaddiq, hari ini.

Pengumuman kedua dirujuk Syed Saddiq ialah peningkatan peruntukan bagi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak RM200 juta kepada RM5.9 bilion, berbanding RM5.7 bilion dalam Belanjawan 2019.

Insentif turut diberikan kepada penuntut TVET apabila elaun mereka ditambah sebanyak RM100 sebagai usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai belia menyertai pelbagai kursus yang ditawarkan dengan kadar kebolehpasaran institusi terbabit menjangkau 96 peratus.

Susulan rungutan masyarakat, Syed Saddiq menyuarakan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana meluluskan pertimbangan untuk menaikkan taraf gaji minimum kepada RM1,200 pada tahun depan, iaitu peningkatan RM100 berbanding kadar lama.

Menyentuh perkembangan sukan, beliau ternyata gembira dengan pengasingan dana e-sukan yang sebelum ini berjumlah RM10 juta namun terpaksa dikongsikan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menerusi Belanjawan 2020, dana khas dengan jumlah keseluruhan RM40 juta diperuntukkan bagi memacu kemajuan e-sukan di negara ini yang mula mencatat fenomena baharu dalam kalangan orang muda, selain membawa Malaysia ke persada antarabangsa menerusi pelbagai pertandingan berskala besar.

“Paling dekat dengan hati saya, industri bola sepak yang sebelum ini RM15 juta, sekarang RM45 juta bagi anak-anak kita dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Berita yang sangat baik bagi anak muda dan dalam industri sukan, kita usahakan sebaik mungkin bagi masa depan negara tercinta,” katanya.

Syed Saddiq ditemuramah wartawan selepas pembentangan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X