Sabtu, 12 Oktober 2019 | 7:55am
PASANGAN yang berjaya mendapatkan zuriat menerusi rawatan teknik In-Vitro Fertilization (IVF), di HSNZ. NSTP/Ghazali Kori.
PASANGAN yang berjaya mendapatkan zuriat menerusi rawatan teknik In-Vitro Fertilization (IVF), di HSNZ. NSTP/Ghazali Kori.

Belanjawan 2020: Tunai impian pasangan lama berkahwin bergelar ibu bapa

KUANTAN: Cadangan membenarkan pencarum menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menjalani rawatan kesuburan seperti persenyawaan luar rahim atau ‘in-vitro fertilisation’ (IVF), membuka peluang kepada pasangan yang sudah lama berkahwin untuk bergelar ibu bapa.

Zainuddin Osman, 51, yang bergelar bapa selepas 12 tahun berkahwin menyifatkan, cadangan dalam Belanjawan 2020 itu sebagai berita baik kerana menyedari tidak semua pasangan berpeluang mendapat rezeki menjalani rawatan kesuburan yang membabitkan kos yang tinggi.

“Berdasarkan pengalaman saya, ada pasangan biasanya bergolok gadai mencari dan mengumpul wang (untuk menjalani rawatan kesuburan), namun tidak semua rawatan yang dilalui membuahkan hasil.

“Kebenaran mengeluarkan KWSP membolehkan pasangan terbabit mencuba rawatan lebih awal, yang mungkin meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan anak kerana faktor usia untuk wanita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainuddin dan isteri, Nor Rabiatun Razali, 42, dikurniakan satu-satunya cahaya mata iaitu Puteri Norliyana Damia, 7, selepas menjalani rawatan kesuburan di bawah Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan, seperti IVF.

“Saya berharap ramai pasangan yang tidak dikurniakan anak, dapat mengambil peluang kerana ada masanya kita mahu berusaha, namun kewangan menjadi kekangan,” katanya.

Bagi Pegawai Penerangan Daerah Bachok, Kelantan, Ahmad Nizam Abidin, 49, yang menunggu 11 tahun sebelum memperoleh cahaya mata menerusi TAFF, berkata pengeluaran itu sewajarnya dibolehkan kerana memiliki zuriat menjadi impian setiap pasangan berkahwin.

“Pengumuman itu amat bertepatan dengan konsep berkeluarga... caruman itu juga adalah milik pencarum, dan jumlah caruman yang banyak juga tidak bermakna jika tiada anak yang boleh mewarisinya.

“Ini permulaan yang baik dan saya berharap jika ada rezeki lebih, kerajaan bersedia membantu mengurangkan kos rawatan IVF, supaya lebih ramai dapat menjalani rawatan itu,” katanya.

Ahmad Nizam mengakui dirinya bertuah kerana dapat menjalani rawatan IVF di bawah tajaan TAFF selepas 11 tahun berkahwin, kerana mengetahui ada pasangan yang masih menunggu giliran walaupun sudah 22 tahun mendirikan rumah tangga. – BERNAMA

Berita Harian X