Sabtu, 12 Oktober 2019 | 10:15am
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. NSTP/Hafiz Sohaimi

Belanjawan 2020 rancangan terperinci selesai isu pemilikan rumah rakyat

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam adalah satu perancangan yang tepat dan terperinci dalam usaha menyelesaikan masalah pemilikan rumah untuk rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata belanjawan itu juga sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilaksanakan kerajaan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengucapkan

setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan

(PH) terutama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang membentangkan Belanjawan 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beberapa berita gembira yang dibentangkan kerajaan dalam Belanjawan 2020 bagi membantu rakyat memiliki rumah adalah pembiayaan RM10 bilion yang akan disediakan institusi kewangan dengan sokongan kerajaan, melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion menerusi program Pembiayaan Sewa untuk Memiliki (Rent To Own -RTO).

“Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengecualian duti setem

sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli.

“Selain itu, sebanyak RM100 juta disediakan untuk membaik pulih rumah berstrata kos rendah dan sederhana dengan memfokuskan usaha membaik pulih lif, pendawaian elektrik, paip pembetungan dan bumbung,” katanya.

Sebanyak RM15 juta pula diperuntukkan bagi inisiatif Bandar Selamat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar antipanjat serta program keselamatan lain.

Bagi Skim Perumahan Belia, Kerajaan Persekutuan juga menawarkan jaminan

pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas, yang membolehkan peminjam

mendapat pembiayaan penuh dengan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan, untuk tempoh dua tahun pertama, terhad untuk 10,000 unit rumah bermula 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Zuraida turut mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Kewangan kerana memberi pertimbangan sewajarnya dengan meluluskan permohonan Elaun Perkhidmatan Bomba kepada seluruh 14,400 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Elaun yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan rangsangan

motivasi kepada anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah

yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya.

Berita Harian X