Sabtu, 12 Oktober 2019 | 2:10pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) memberi 'goodies' kepada para penumpang Komuter selepas merasmikan Stesen KTM Nilai, hari ini. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Pemandu e-hailing belum lulus PSV dikecualikan tindakan

NILAI: Pemandu e-hailing yang dalam proses melengkapkan peraturan berkaitan perkhidmatan itu akan dipertimbangkan untuk diberi kelonggaran daripada tindakan penguatkuasaan yang bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementeriannya masih memberikan peluang kepada pemandu yang sudah mengambil langkah untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), namun belum selesai.

“Walaupun penguatkuasaan bermula hari ini, ia akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan tindakan hanya akan tertumpu kepada pemandu yang enggan mematuhi syarat.

“Ini bukannya perkara baharu, saya sudah umumkan banyak kali. Malah, ada nyatakan bahawa kita mengambil pendekatan beransur-ansur selain memberikan masa dan ruang secukupnya kepada semua (pemandu e-hailing).

“Selagi mereka sudah menduduki peperiksaan PSV, kita tiada masalah walaupun belum mendapat (lesen PSV). Mungkin ada proses yang belum diselesaikan, jadi kita masih memberikan peluang,” katanya selepas merasmikan Stesen KTM Nilai di sini, hari ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing yang tidak melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan, sebaik penguatkuasaan bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata kaedah penguatkuasaan itu tidak bermaksud pihak berkuasa akan laksanakan pemeriksaan terhadap setiap pemandu serta-merta.

“Jadi ada proses yang belum selesai itu kita akan memberi sedikit masa lagi tetapi penguatkuasaan sudah bermula (hari ini).

“Bagaimanapun, ia bukan bermaksud anggota JPJ akan pergi merata tempat dan memeriksa pemandu atau menahan setiap kereta. Kita akan membuat penguatkuasaan beransur-ansur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke menasihati belia menghadiri Karnival Kerjaya dan Pendidikan 2019 yang berlangsung pada 19 dan 20 Oktober ini di Palm Mall, Seremban untuk merebut peluang kerjaya dalam bidang pengangkutan.

“Karnival ini buat julung kalinya diadakan yang membabitkan 40 majikan dengan peluang pekerjaan 4,000 membabitkan profesion kejuruteraan dalam pengangkutan termasuk di pelabuhan,” katanya.

Berita Harian X