Sabtu, 12 Oktober 2019 | 5:20pm
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof (tengah) bersama bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaafar (dua, kanan) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Astro AWANI Suhaimi Sulaiman (kanan) bergambar bersama sebahagian pesarta Bengkel Media dan Politik Dalam Malaysia Baharu di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Penggulungan Sukarela Pemiutang Utusan hanya untuk selamatkan jenama, lesen - Johan Jaafar

KUALA LUMPUR: Tindakan pengurusan Utusan Melayu memilih Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) bersifat mementingkan syarikat untuk menyelamatkan jenama dan lesen akhbar itu.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Johan Jaafar, berkata langkah itu dilihat hanya untuk menyelamatkan syarikat berbanding kebajikan kakitangannya.

Selain itu, beliau turut mendakwa pertimbangan terbabit bermotifkan keuntungan perniagaan, sekali gus mengakibatkan lebih 800 orang hilang pekerjaan dalam sekelip mata.

“Dalam keadaan sekarang ini, hampir mustahil (ambil semula pekerja). Jadi, apa yang berlaku adalah syarikat gulung tikar.

“Syarikat melalui Penggulungan Sukarela Pemiutang. Maka sesiapa saja yang bekerja dengan Utusan Melayu dianggap sudah melepaskan jawatan manakala semua aset milik syarikat akan dijual untuk membayar hutang.

“Dalam proses ini, nampaknya yang diselamatkan adalah jenama dan lesen akhbar tetapi kebajikan tidak diberi perhatian. Ini pertimbang perniagaan semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Media dan Politik dalam Malaysia Baharu, di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Johan yang pernah mengemudi akhbar itu pada 1990-an, turut menzahirkan perasaan sedihnya berhubung penutupan operasi akhbar tertua negara itu.

“Hakikatnya, tiada cara untuk mereka mengambil kesemua pekerjanya semula. Ini sesuatu yang sangat menyedihkan kerana syarikat akhbar berusia 80 tahun sudah terkubur dan kebajikan pekerja tidak difikirkan langsung.

“Pada pandangan saya, mereka seharusnya memikirkan pilihan lain. Kalau Utusan Melayu atau Kosmo diterbitkan semula, mungkin mereka boleh buat pilihan untuk menggunakan orang lama atau baru,” katanya.

Rabu lalu, dalam satu memo dalaman yang diedarkan kepada kakitangan syarikat oleh pengerusi eksekutif Utusan Melayu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, difahamkan Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang, sekali gus membuat keputusan menutup operasi syarikat itu.

Berita Harian X