Sabtu, 12 Oktober 2019 | 6:19pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, (tiga dari kiri) beramah mesra bersama media sambil diiringi Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, (tiga dari kanan) ketika Program Menembak SPRM bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM yang ke 52 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia Kajang. - Foto Azhar Ramli

Fasa ketiga kutipan semula dana 1MDB akan bermula

KAJANG: Fasa ketiga kutipan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada penerima akan dimulakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata fasa ketiga ini membabitkan individu dan entiti yang menerima wang berjumlah kurang daripada RM500,000.

“Fasa pertama sebelum ini menyaksikan perlucutan hak sivil difailkan ke atas penerima dana berkenaan yang mana wang itu masih dalam akaun mereka dan kemudiannya akaun itu dibekukan.

“Pada fasa kedua pula, notis kompaun dikeluarkan kepada 80 individu dan entiti yang disyaki menerima dana 1MDB berjumlah lebih RM500,000.

“Mereka diberikan masa dua minggu daripada notis itu dikeluarkan untuk memberi respon kepada SPRM,” katanya selepas Program Menembak SPRM bersama media sempena ulang tahun SPRM ke-52 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia Kajang, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Pengarang Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan.

Menjawab persoalan mengenai status siasatan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang didakwa menerima dana 1MDB, Latheefa mengulangi kenyataannya bahawa senarai awal dikeluarkan SPRM bukan senarai penuh dan tidak muktamad.

“Ada beratus individu menerima dana 1MDB, tetapi (buat masa ini) kami menyenarai pendek penerima dalam jumlah besar iaitu RM500,000 ke atas membabitkan 80 individu dan entiti.

“Ia bukan isu selektif atau kepentingan politik, tetapi senarai itu berdasarkan penerima dengan jumlah besar dulu,” katanya.

Berita Harian X