Sabtu, 12 Oktober 2019 | 6:55pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan sumbangan amal sempena Deepavali kepada sebahagian 150 keluarga kaum India dari Parlimen Kulim di sebuah gedung pasaraya terkemuka di Kulim hari ini. - Foto BERNAMA

5 juta individu lagi layak terima PSP

KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenalpasti lima juta lagi bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak mendapat manfaat skim Program Subsidi Petrol (PSP).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan bagi tambahan penerima skim PSP itu sudah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam.

“Dalam pembentangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim PSP bersasar kepada kira-kira lapan juta pemandu yang layak.

“Jadi, kita akan memperincikan tambahan lima juta lagi senarai penerima berikutan kita sudah mempunyai pangkalan data golongan B40 iaitu sebanyak kira-kira tiga juta individu yang juga penerima BSH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada 150 penerima sempena Majlis Sumbangan Amal Deepavali Tesco di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KPDNHEP juga sedang melengkap data B40 yang mempunyai kenderaan sebelum senarai penerima diperluaskan kepada golongan M40.

Katanya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan data berkenaan kenderaan yang berdaftar dengan agensi itu.

Beliau berkata, pemilihan senarai penerima tidak berdasarkan lokasi tempat tinggal sebaliknya penerima haruslah berstatus warganegara.

“Yang penting individu berkenaan mempunyai kenderaan iaitu kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau​​​​​​ kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1,600cc yang berusia lebih 10 tahun.

“Bagi motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun,” katanya.

Bermula Januari 2020, setiap penerima akan diberikan sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

Berita Harian X