Sabtu, 12 Oktober 2019 | 10:17pm
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar ketika sidang akhbar selepas merasmikan pertandingan peringkat akhir Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2019 di Pusat Pengajian Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM hari ini. - Foto BERNAMA

Peningkatan peruntukan TVET mampu tambah penyertaan belia

PERMATANG PAUH: Peningkatan peruntukan kepada RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2020 bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), diyakini mampu menambah penyertaan belia dalam bidang kemahiran.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata ia berikutan banyak pihak sudah mulai sedar akan kepentingan bidang itu, selain keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir bagi memenuhi perkembangan semasa.

Justeru, beliau berkata, peningkatan peruntukan itu berbanding RM5.7 bilion dalam Belanjawan 2019, membuktikan kerajaan amat serius dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Negara kita tidak boleh terkebelakang daripada kemajuan dunia kini. Rakyat harus dilengkapi kemahiran seiring kehendak pasaran pekerjaan hari ini yang menggunakan teknologi tinggi.

“Sebelum ini, kita terlalu banyak bergantung pada pekerja asing disebabkan kemahiran rendah dan kelulusan tidak sepadan dengan keperluan industri.

“Namun, kita percaya usaha kerajaan melalui TVET serta #MalaysiaKerja mampu mencipta peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan dan seterusnya menggalakkan pelaburan industri ke negara ini,” katanya.

PERMATANG PAUH 12 OCTOBER 2019. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (keempat dari kiri) disertai oleh rektor Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang Prof Madya Dr. Mohd Hisbany Mohd Hashim (kedua dari kiri) merasmikan Pertandingan Worldskill Malaysia Belia 2019 di UITM Penang, Permatang Pauh. - Foto Mikail Ong

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan peringkat akhir Pertandingan Worldskill Malaysia Belia 2019 dan World Skill Malaysia Pengajar 2019 di Pusat Pengajian Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, tahap kebolehpasaran graduan TVET kini adalah tinggi dengan 90 peratus daripada mereka dijamin mendapat pekerjaan selepas keluar daripada institusi.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kementerian itu menyasarkan pengambilan 225,000 pelajar TVET menjelang 2020 berbanding 164,000 pada 2013.

Berita Harian X