Ahad, 13 Oktober 2019 | 1:24pm

Ahli Parlimen Rasah ambil alih tugas Gunasekaran

SEREMBAN: Tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran yang ditahan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) Khamis lalu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kini diambil alih oleh Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chean.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, ketika mengumumkan perkara itu, berkata beliau percaya penahanan Gunasekaran tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat setempat kepada ADUN Seremban Jaya itu.

“Berdasarkan rekod perkhidmatannya, beliau adalah pemimpin akar umbi yang sentiasa berkhidmat untuk rakyat. Saya yakin pengundi Seremban Jaya lebih mengenali keperibadian beliau.

“Namun begitu, apa yang telah terjadi memang dikesali, tetapi sebagai seorang menteri, saya tidak mahu mencampuri siasatan polis. Kita menghormati proses undang-undang, cuma harap Gunasekaran diberikan haknya dan siasatan dapat dilaksanakan dalam keadaan segera,” katanya selepas menziarahi keluarga Gunasekaran di Kampung Baru Rahang, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Anthony Loke ziarah J Arul Merry, isteri kepada Gunasekaran di Kampung Baru Rahang. Turut hadir, Lim Kit Siang (dua dari kanan). - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Kit Siang menggesa kerajaan Persekutuan memansuhkan SOSMA seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Ia kerana SOSMA pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan korupsi, sebab itu kita mahu ia dimansuhkan.

“Tahun lalu, ada perubahan kuasa dan kita janji inginkan keseimbangan dan ketelusan di pihak kerajaan. Saya percaya Gunasekaran tidak bersalah dan kita akan beri sokongan berpandukan undang-undang,” katanya.

Berita Harian X