Ahad, 13 Oktober 2019 | 6:19pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta pada Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara 2, di Grand Ballroom, Hotel The Light, Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta pada Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara 2, di Grand Ballroom, Hotel The Light, Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong

Tingkatkan pembabitan wanita sebagai ketua kampung - Rina

BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu pembabitan wanita sebagai ketua kampung ditingkatkan supaya mencapai sasaran 30 peratus di seluruh negara menjelang 2020.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, menegaskan wanita turut berupaya memimpin jika diberikan pendedahan dan kesedaran sewajarnya.

Malah, beliau berkata, mereka sudah membuktikan kemampuan sebagai menteri dan EXCO, justeru golongan itu juga boleh menerajui komuniti masing-masing sebagai ketua kampung.

“Ada sejumlah 15,441 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negara dengan difahamkan, seramai 819 wanita menjadi ketua kampung. Malah, yang paling muda berusia 19 tahun dan ia adalah satu perkara harus dibanggakan.

“Bilangan itu mencapai 24 peratus dan kita menyasarkan 30 peratus menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara yang dihadiri 879 peserta dari Pulau Pinang dan Perak, di sini, hari ini.

Seterusnya, Rina meminta usahawan wanita di luar bandar memberanikan diri berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan perniagaan diceburi terus berkembang pada masa depan.

Katanya, ramai usahawan berkenaan didapati enggan mendaftarkan perniagaan masing-masing kerana mahu menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada kerajaan.

Beliau berkata, mereka tidak boleh sekadar melihat pada bantuan skim seperti itu sehingga mengambil keputusan tidak mahu berdaftar.

“Usahawan wanita perlu sedar betapa penting untuk mereka berdaftar dengan SSM supaya memperoleh banyak manfaat dan memajukan perniagaan ke arah lebih baik,” katanya.

Setakat ini, Rina berkata, ada lebih 84,000 usahawan wanita yang menceburi pelbagai jenis bidang perniagaan, direkodkan berdaftar dengan SSM.

“Daripada jumlah itu, hanya 21 peratus usahawan wanita di luar bandar yang berdaftar. Program kesedaran perlu dipergiat dan kita menyasarkan ia dapat ditingkatkan kepada 50 peratus menjelang 2020,” katanya.

Berita Harian X