Ahad, 13 Oktober 2019 | 7:54pm
PEMENANG pingat emas kategori Menengah Rendah dari kiri Muhammad Syahir Arshad, 14, Foo Sheng Chai, 14, dan Shaheil Liam Kumar, 14, bersama pingat emas yang dimenangi mereka ketika tiba di balai ketibaan KLIA selepas pulang dari Pertandingan Robotik Antarabangsa 2019 di Korea Selatan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Malaysia raih emas, perak di IRC Korea Selatan

SEPANG: Dua pasukan robotik mengharumkan nama negara apabila muncul juara dan naib juara bagi kategori menengah rendah dunia dalam Pertandingan Robotik Antarabangsa (IRC) di Pusat Pameran Antarabangsa, Korea Selatan, baru-baru ini.

Turut membanggakan, pasukan menengah atas negara menyumbang pingat gangsa pada pertandingan yang berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober lalu itu.

SEBAHAGIAN peserta yang mewakili Malaysia pada Pertandingan Robotik Antarabangsa 2019 di Korea Selatan tiba di balai ketibaan KLIA. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN peserta yang mewakili Malaysia pada Pertandingan Robotik Antarabangsa 2019 di Korea Selatan tiba di balai ketibaan KLIA. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Dua pasukan negara berentap di peringkat akhir bagi kategori menengah rendah dan juara diraih tiga pelajar iaitu Muhammad Syahir Arshad, 14, (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya; Foo Sheng Chai,14,(SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, Puchong) dan Shaheil Liam Kumar, 14, (SMK Kota Kemuning, Klang).

Naib juara diraih pelajar Tingkatan Tiga dari Permata Pintar Negara iaitu Ahmad Alif Yusmar, Chew Yi Nin, Adam Khalis Khairilfaizi, Hana Safiyyah Mohd Hairil Izzuan, dan Umi Khalidah Azman.

Pingat gangsa kategori menengah atas pula disumbangkan dua pelajar Tingkatan Empat SMK Gombak Setia iaitu Ahmad Aiman Nor Azam dan Muhammad Hafizam Mazril.

Pengarah Projek World of Robotics Sdn Bhd, Michelle Choo, berkata Malaysia menghantar enam penyertaan membabitkan tujuh pasukan dalam dua kategori yang sama.

Katanya, 15 negara menyertai pertandingan itu dan pasukan negara berjaya menyaingi pasukan hebat dunia seperti Amerika Syarikat dan China.

“Paling membanggakan, dua pasukan kategori menengah rendah berentap pada peringkat suku akhir dan akhir yang muncul juara IRC.

“Walaupun peserta terdiri dari sekolah yang berbeza, kesungguhan dan kerjasama ditunjukkan mampu mencapai kejayaan untuk negara,” katanya.

Berita Harian X