Ahad, 13 Oktober 2019 | 8:05pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada sebahagian daripada 200 penerima kaum India dari kawasan Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Deepavali. - Foto BERNAMA

PSP M40 mungkin serentak dengan B40

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berharap Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau B40 akan dilaksanakan serentak dengan golongan berpendapatan sederhana dalam kategori M40 mulai Januari depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mendapatkan data penerima dan memperhalusi mekanisme yang diperlukan.

“Bagi B40, kami sudah ada data mereka yang layak di mana saya telah umumkan Isnin lalu datanya sekitar 2.9 juta, namun untuk M40... setakat ini, kami masih tidak mempunyai sebarang maklumat penerima yang berkelayakan.

“Jadi perbincangan antara kedua kementerian dari peringkat pegawai dan menteri akan diadakan minggu depan untuk menentukan mereka yang layak ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Bantuan sempena Sambutan Deepavali di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan masih mempunyai tempoh tiga bulan untuk melakukan apa yang patut sebelum pelaksanaannya tahun depan.

“Selain MOF, kami juga akan mendapatkan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan dan Tenaga Nasional Bhd untuk mendapatkan maklumat mengenai mereka yang layak,” katanya.

Saifuddin Nasution yang juga Ahli Undangan Negeri kawasan Pantai Jerejak turut menjangkakan jumlah penerima daripada kumpulan M40 mungkin mencecah lima juta penerima.

“Dari pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim PSP bersasar yang memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu jadi jika ditolak dengan 2.9 juta pemandu yang layak dalam kumpulan B40, kira-kira lima juta pemandu yang layak akan dikenal pasti termasuk daripada kumpulan M40,” katanya.

Jumaat lalu, ketika pembentangan belanjawan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bermula Januari tahun depan, PSP bersasar yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan, akan dilancarkan di Semenanjung dengan dua kategori kelayakan.

Kategori pertama ialah penerima BSH (B40) yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang diberikan dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Kategori kedua pula ialah bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH yang mana mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun. - BERNAMA

Berita Harian X