Ahad, 13 Oktober 2019 | 9:15pm
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menggaul rojak buah sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail (tiga kanan) dan Ketua Pengarah FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli (dua kanan) ketika demo membuat rojak buah pada Program Sambutan Ulang Tahun FAMA ke 54 dan Kempen Anti Rasuah Sempena Ulang Tahun SPRM ke 52 Peringkat Negeri Selangor di Pasar Tani Sekyen 13 Shah Alam. - Foto NSTP/Sairien Nafis

'Boleh datang ke SPRM untuk membuat rayuan'

SHAH ALAM: Seramai 80 individu dan entiti yang menerima notis kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), boleh membuat rayuan kepada agensi itu.

Rayuan itu bertujuan membolehkan mereka diberi masa lanjutan daripada tempoh ditetapkan untuk membayar kompaun berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya memberi tempoh dua minggu untuk individu dan entiti terbabit membayar kompaun dikenakan terhadap mereka.

“Sekarang ialah waktu untuk mereka membuat keputusan bagaimana hendak membayar. Jika mereka memerlukan lebih masa, boleh datang ke SPRM untuk membuat rayuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sambutan Ulang Tahun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ke-54 dan Kempen Antirasuah SPRM di Pasar Tani Shah Alam, di sini, hari ini.

Setakat ini, Latheefa berkata, belum ada yang membuat pembayaran tetapi sudah ada yang hadir menunjukkan komitmen untuk membayarnya.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu dan tindakan lanjut akan diambil selepas dua minggu notis berkenaan diserahkan kepada pihak terbabit.

Latheefa bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menafikan dirinya menerima dana 1MDB seperti tersenarai sebelum ini.

Beliau berkata, terserah kepada Ahmad sama ada mahu membayar kompaun itu atau sebaliknya.

“Saya tidak boleh komen mengenai perkara itu. Terpulang kepada dia sama ada mahu membayar atau tidak. Kita memberi tempoh dua minggu untuk 80 individu dan entiti yang tersenarai untuk membuat pembayaran,” katanya.

Notis kompaun terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad menafikan beliau menerima wang dikaitkan dengan 1MDB, malah menegaskan tidak pernah menerima cek daripada syarikat berkenaan.

Berita Harian X