Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:24pm
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Malaysia yakin tempias positif ibu kota baharu Indonesia

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memuktamadkan beberapa perkara berhubung aspek sempadan dan keselamatan dengan Indonesia susulan keputusan republik itu memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, menjelaskan Malaysia masih giat mengadakan siri perbincangan dengan Indonesia bagi memastikan kedua-dua negara meraih manfaat positif tanpa mencetuskan sebarang isu berbangkit.

“Kita akan terus manfaatkan keadaan ini (pemindahan ibu kota ke Kalimantan Timur) dengan mengadakan perbincangan bersama Indonesia, termasuk dalam hal keselamatan dan persempadanan.

“Kita belum dapat putuskan (hal keselamatan dan persempadanan), justeru kerajaan akan terus berhubung dengan Indonesia supaya tiada isu pertindihan dan masalah sosial pada masa depan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) berhubung risiko masalah sosial dan pertindihan sempadan susulan keputusan Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur yang dijangka dilaksanakan menjelang 2024.

Menjawab soalan asal Larry Sng Wei Shien (PH-Julau) berhubung pendirian kerajaan susulan keputusan pemindahan ibu kota Indonesia, Marzuki menaruh kepercayaan ia adalah bersandarkan kepentingan republik terbabit.

“Tidak dapat dinafikan ada kesan kepada kita, namun ia tidak akan menjejaskan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia.

“Pemindahan ibu kota baharu ke Kalimantan Timur akan meningkatkan kegiatan ekonomi, menambahkan jumlah penduduk dan aktiviti lain seperti didapati di sesebuah ibu kota.

“Ini boleh memberikan banyak manfaat kepada Malaysia, terutama Sabah dan Sarawak dengan merancakkan lagi ekonomi di wilayah terbabit menerusi aliran perdagangan antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X