Isnin, 14 Oktober 2019 | 5:12pm

Laporan Audit: 13 kementerian ada saman lalu lintas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kementerian mempunyai 2,081 notis kesalahan lalu lintas/saman berjumlah RM0.43 juta yang tertunggak sejak 1999 hingga 2018.

Antara punca berlakunya saman tertunggak ialah surat peringatan tidak dikeluarkan ketua jabatan kepada pemandu/pegawai pengguna kenderaan, pemandu/pegawai pengguna tidak dapat dikesan dan tiada tindakan pemantauan diambil kementerian bagi menyelesaikan kes saman tertunggak.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempunyai bilangan saman tertunggak tertinggi, iaitu 1,210 saman berjumlah RM249,730 dari 1999 hingga 2018, diikuti Kementerian Kewangan 333 saman berjumlah RM69,585.

Ia diikuti Kementerian Belia dan Sukan sebanyak 135 saman berjumlah RM29,250 dari 2006 hingga 2017 dan Kementerian Pertahanan 146 saman, berjumlah RM28,370 dari 2003 hingga 2018.

Pekeliling Perbendaharaan Malaysia menyatakan ketua jabatan hendaklah memberi peringatan bertulis kepada pemandu/pegawai pengguna bagi menyelesaikan saman tertunggak.

“Jika pemandu/pegawai pengguna tidak menyelesaikan saman tertunggak selepas diberi peringatan bertulis dalam tempoh sebulan oleh ketua jabatan, tindakan seterusnya seperti potongan gaji hendaklah dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Buku Log Kenderaan bagi 16 kementerian tidak dikemas kini, kerana penyelenggaraan Buku Log perlu dilakukan bagi tujuan pemantauan pergerakan kenderaan jabatan dan memastikan tiada sebarang penyalahgunaan.

Berita Harian X