Isnin, 14 Oktober 2019 | 6:00pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi hadir Sidang Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen. - NSTP/Asyraf Hamzah

Peruntukan memadai untuk TMM 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan sedia menimbang untuk memohon peruntukan tambahan khusus bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi, berkata kementerian berharap peruntukan RM90 juta yang disalur menerusi Belanjawan 2020 boleh menampung kos TMM tahun depan.

Katanya, pendekatan berjimat kementerian dan agensi berkaitan tidak seharusnya menjejaskan matlamat pelaksanaan TMM 2020.

“Matlamat TMM 2020 tidak akan terjejas (dengan peruntukan hanya RM90 juta). Fokus sekarang ialah kita perlu berjimat dan saya lebih suka memilih pendekatan itu.

“Kita guna dulu peruntukan yang ada. Kalau kekurangan tahun depan, kita akan mohon lagi,” katanya ketika kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Mohamaddin yakin sasaran 30 juta pelancong tahun depan dapat dicapai walaupun dengan peruntukan yang terhad.

Belanjawan 2020 yang diumum minggu lalu memperuntukkan RM1.1 bilion dengan RM900 juta disalur untuk perbelanjaan mengurus bagi Kementerian Pelancongan

Mengenai gesaan golongan karyawan dan penggiat seni mengenai peruntukan tidak mencukupi buat mereka, Mohammadin sedia melihat permasalahan itu.

“Kita lihat nanti. Sekarang peruntukan pun belum guna lagi,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi sebelum ini mendakwa pengumuman agihan untuk penggiat seni tidak mencukupi.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFINA), Khir Mohd Noor, pula dilaporkan berkata, peruntukan Belanjawan 2020 seharusnya berfokus kepada nasib golongan artis termasuk pekerja profesional di belakang tabir produksi.

Berita Harian X