Isnin, 14 Oktober 2019 | 6:43pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

PIEX'19 buka peluang pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR: Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX’19) bulan depan dijangka menarik kira-kira 400 pempamer dari dalam dan luar negara dengan jangkaan 30,000 pengunjung.

Antara pempamer luar negara yang akan menyertai ekspo berkenaan ialah China, Amerika Syarikat, Brazil, Jepun, Switzerland, Taiwan, Kesatuan Eropah dan negara di rantau ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ekspo yang julung kali diadakan itu berupaya menjadi platform utama dalam usaha membina kejayaan dalam sektor perniagaan Perak untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ini memandangkan banyak peluang baharu pelaburan dan perdagangan akan terbuka kerana ramai pemain industri termasuk jabatan kerajaan mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka terutama dalam sektor pembuatan, pelancongan, pertanian, pembinaan dan pendidikan.

“Malah, ada lima acara besar dengan pelbagai pengisian terbaik diadakan iaitu Dialog Pangkor, Pride of Perak, Perak Startup Festival dan Ekspo Halal Antarabangsa Perak serta Konvensyen Pelaburan dan Perdagangan India-Perak.

“PIEX’19 juga bertepatan dengan visi dan misi yang digariskan dalam Pelan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang mahu penggiat ekonomi tempatan berdaya maju untuk mencapai tahap ekonomi bernilai tinggi.

“Keberadaan di alam digital, media sosial dan kerja tanpa pejabat adalah antara budaya niaga dan kerja di era serba canggih ini, sekali gus sangat bersesuaian dengan suasana ekonomi baharu yang digariskan dalam WKB2030 dan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) untuk Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pelancaran PIEX’19 di sini, hari ini, yang dibacakan Pengerusi Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak, Howard Lee dan Ketua Eksekutif InvestPerak, Sayed Shariffuddin Sayed Shamshuddin.

PIEX’19 bertemakan ‘Menduniakan Peluang Tanpa Batasan’ akan berlangsung empat hari bermula 14 hingga 17 November ini di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Pameran anjuran kerajaan Perak mendapat sokongan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia dan Dewan Perniagaan India Perak serta pelabur antarabangsa, Vale Malaysia Minerals.

Ahmad Faizal berharap penganjuran ekspo ini menjadi pintu gerbang kepada peniaga dan pelabur sedia ada dan baharu untuk meninjau potensi yang wujud di Perak.

“Dalam masa yang sama dapat mempromosi Perak sebagai pilihan terbaik sebagai rakan dagang dan pelaburan bagi pasaran B2B dan B2G.

“Saya yakin dan percaya ia mampu mencapai matlamat KEGA dan WKB2030 dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak,” katanya.

Berita Harian X