Isnin, 14 Oktober 2019 | 7:03pm
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Kerajaan perlu tingkatkan keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa polemik peralihan kuasa yang sering dijadikan bahan jenaka politik, perlu diselesaikan secepat mungkin kerana ia menyebabkan pelabur hilang keyakinan kepada negara.

Membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), mendakwa selama ini kemerosotan ekonomi Malaysia dikatakan berpunca daripada perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China serta pelbagai faktor luaran.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan itu tidak tepat kerana data ekonomi semasa di rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia menunjukkan sebaliknya.

Pasaran modal dan swasta Malaysia berada pada kedudukan terburuk bagi separuh penggal pertama tahun ini.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), nilai ringgit berada pada paras RM3.85 berbanding AS$1, namun ia berubah selepas 523 hari Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

Ringgit kini susut kepada RM4.18 bagi AS$1. Ringgit turut merosot berbanding dolar Singapura pada kadar tiga peratus, baht Thailand (10 peratus), dong Vietnam (3.9 peratus) dan 5.7 peratus (riel Kemboja).

Justeru, Khairy mendakwa kemelut fiskal Malaysia bukan berpunca daripada perang dagangan AS-China tetapi disebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap negara.

“Ringgit merosot bukan hanya berbanding dolar AS tetapi hampir semua mata wang (negara) jiran. Namun teori ekonomi mengajar (menyebut bahawa) eksport negara akan meningkat dalam keadaan sedemikian.

“Malang sekali, keadaan itu tidak berlaku kerana eksport Malaysia terus susut. Bagi tempoh Januari hingga Ogos untuk tiga tahun sebelum ini, angka eksport menunjukkan peningkatan pada 2016 pada kadar satu peratus, 2017 (22 peratus) dan 2018 (68 peratus).

“Bagi tempoh sama tahun ini, perangkaan eksport Malaysia (menunjukkan ia) menguncup pada kadar 0.4 peratus, jadi ada yang tidak kena dengan negara kita,” katanya.

Mengemukakan jalan penyelesaian, Khairy mencadangkan kerajaan menyuntik keyakinan dalam kalangan peniaga bagi memacu sektor pelaburan, selain tidak terus menjual aset negara sebaliknya berusaha mengembangkannya.

Berita Harian X