Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:06pm
Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa IR 4.0: Revolusi Global Dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti (MYINDUSTRIES 2019) di SEGi University, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sektor niaga di Malaysia perlu ubah strategi hadapi arus IR4.0 - PM

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu sektor perniagaan di Malaysia mengubah strategi, mentaliti dan budaya untuk kekal kompetitif dalam arus Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Perdana Menteri berkata, strategi perniagaan di negara ini perlu beralih daripada hanya memperdagang dan menggunakan teknologi kepada mencipta teknologi.

Perniagaan di Malaysia, katanya, adakalanya terlalu berteraskan operasi untuk mendapatkan hasil dan biasanya, peniaga terlalu konservatif untuk mempelbagaikan perniagaan dan pembangunan produk.

“Mentaliti dan budaya perniagaan ini perlu berubah. Perniagaan di Malaysia perlu mula melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara serius untuk meningkatkan dan menambah baik produk serta perkhidmatan, proses perniagaan dan integrasi teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa IR 4.0: Revolusi Global Dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti (MYINDUSTRIES 2019) di SEGi University, di sini hari ini.

Dr Mahathir turut menggesa universiti awam dan swasta di Malaysia memberi tumpuan membangunkan keupayaan R&D bagi menyelesaikan masalah industri sebenar serta kajian peningkatan produktiviti dan pulangan pelaburan (ROI).

Perdana Menteri juga mahu lebih banyak kajian mengenai transformasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke arah perniagaan berteraskan teknologi, dilaksanakan.

“Kita perlu lebih banyak teknologi yang disesuaikan dengan industri Malaysia. IR4.0 boleh menjadi permulaan kepada pembangun dan penyelidik teknologi tempatan.

“Sistem pendidikan juga perlu dilihat semula. Wujud keperluan untuk mentransformasi modal insan kita, sama ada pekerja sedia ada atau pelajar dengan kemahiran baharu, pemikiran inovatif dan pengetahuan pelbagai disiplin.

“Firma swasta perlu melabur dalam mengubah dan meningkatkan kemahiran pekerja sedia ada dan pekerja baharu untuk mengasah kemahiran mereka supaya seiring dengan landskap operasi baharu," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir yakin Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) yang dilancarkan tahun lalu, mampu menjadikan Malaysia rakan strategik dalam pembuatan pintar, hub utama industri berteknologi tinggi dan penyedia penyelesaian masalah untuk sektor pembuatan di Asia Pasifik menjelang 2025.

Menerusi dasar itu, kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi hub Industri 4.0 di Asia Tenggara, sekali gus membuka peluang untuk mengembalikan status negara sebagai Harimau Asia.

Industry4WRD akan memastikan industri Malaysia, terutama sektor pembuatan mampu ke hadapan dan berdaya saing bagi menangani cabaran IR4.0.

Pelan tindakan itu bertujuan mengorak langkah bagi meningkatkan produktiviti, mencipta pekerjaan serta sumber bakat yang berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan, yang akhirnya akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Berita Harian X