Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:49pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran 'Crest's Digital Healthcare Cluster Day' di Rekascape hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran 'Crest's Digital Healthcare Cluster Day' di Rekascape hari ini. - Foto BERNAMA

Rangka strategi babit peruntukan RM60 juta vaksin pneumokokal: Dzulkefly

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan akan merangka strategi pelaksanaan bagi memastikan peruntukan RM60 juta untuk vaksin pneumokokal yang diumumkan pada Belanjawan 2020, baru-baru ini, dapat digunakan secara baik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya komited untuk melaksanakan program terbabit seawal yang mungkin pada tahun depan kerana ia sudah lama tertangguh kerana ketiadaan dana.

Bagaimanapun tegasnya, kementerian perlu melihat jumlah yang diberi sebelum menilai keupayaan apa yang boleh diperoleh dari sumber kewangan terbabit.

“Kami perlu merangka dan menyusun strategi untuk melakukan perancangan pengiraan yang bersesuaian dan munasabah dengan jumlah peruntukan yang diberi melalui Belanjawan 2020.

“Sebelum ini, kami meminta RM120 juta tetapi apabila diluluskan separuh, pastinya ia memerlukan strategi kerana dengan jumlah kelahiran 460,000 hingga 500,000 bayi setahun, ia menjadikan kita tidak mampu untuk melaksanakannya secara menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Crest’s Digital Healthcare Cluster di RekaScape, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai cadangan mewajibkan vaksin, Dr Dzulkefly berkata, visi pihaknya adalah untuk memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat vaksin dalam mencapai sasaran 95 peratus.

“Secara ideal, kita mahukan sebegitu dan berjaya memperluaskannya kepada kumpulan yang ketinggalan sebelum ia diwajibkan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata cadangan pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal secara percuma itu dijangka pada suku pertama tahun depan tetapi ia bergantung kepada kos yang diperoleh.

“Buat masa ini, kita hanya menunggu peruntukan yang disediakan sebelum mengadakan pihak pembekal bagi mendapatkan harga yang terbaik bagi memastikan apa yang kita mahukan dapat dilaksanakan.

“Jumlah yang diberi adalah permulaan yang baik kerana setiap tahun, 200 hingga 300 orang dijangkiti penyakit berkaitan pneumokokal,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM30.6 bilion dalam Belanjawan 2020 kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya penduduk luar bandar, golongan miskin bandar dan Orang Asli.

Antaranya ialah peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta untuk vaksin pneumokokal kepada semua kanak-kanak melalui Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) yang sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan sekian lama.

Berita Harian X