Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:08pm
Rina pada majlis penyerahan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai, di Kukup, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Rina pada majlis penyerahan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai, di Kukup, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Jajaran baharu Tanjung Piai bangunkan luar bandar

PONTIAN: Jajaran baharu Jalan Tanjung Piai-Pekan Nenas yang dijangka siap awal tahun depan akan membangunkan ekonomi daerah ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata jalan sejauh kira-kira 15 kilometer dengan kos RM65 juta itu kini 90 peratus pembinaan.

“Kementerian jangka jajaran baharu Jalan Tanjung Piai-Pekan Nenas yang berada pada fasa dua pembinaan, siap sepenuhnya dan akan dibuka menjelang awal tahun depan.

“Lebih 10 kawasan kampung tradisional Melayu yang wujud di sepanjang jajaran baharu itu, termasuk Belokok, Serkat dan Tanjung Piai dijangka mendapat limpahan manfaat ekonomi yang besar.

“Kementerian juga meluluskan pemasangan 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar di Tanjung Piai dengan kos RM127,776, berikutan keadaan yang berbahaya kepada pengguna pada waktu malam.

“Di Johor, secara keseluruhannya kementerian meluluskan pemasangan 6,625 lampu jalan di luar bandar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penyerahan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai, di Kukup, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor,Tosrin Jarvanthi.

Terdahulu, Rina menyampai geran MPKK kepada ketua kampung dalam Parlimen Tanjung Piai.

Mengulas lanjut, Rina yang juga Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, bagi Parlimen Tanjung Piai sebanyak 23 permohonan geran MPKK sudah diluluskan dengan peruntukan RM230,000.

“Sebanyak 469 geran MPKK bernilai RM10,000 setiap satu sudah diluluskan di Johor bagi setiap kampung menjalankan aktiviti kemasyarakatan membabitkan pembangunan ekonomi, keceriaan mahu pun program ilmu dan sahsiah bagi manfaat penduduk.

“Kita berharap baki MPKK yang masih belum membuat pemohonan supaya segera berbuat demikian bagi melaksanakan program bermanfaat di kampung masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Wanita BERSATU sudah memulakan gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sejak bulan lalu dengan pelbagai program sedang dan akan dilaksanakan.

“Jentera Wanita BERSATU mempunyai hubungan yang akrab dengan pengundi wanita di Tanjung Piai dan kita berharap ia diterjemahkan menerusi peti undi nanti,” katanya.

Berita Harian X