Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:10pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika sidang media di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Orang Melayu kena pamer kebolehan jika mahu pulih maruah

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha memulihkan maruah orang Melayu di negara ini hanya dapat dicapai apabila kaum itu sendiri dapat mempamerkan kebolehan mereka, rajin dan ikhlas serta mempunyai nilai murni.

Menurut Perdana Menteri, orang Melayu sendiri kena berusaha memulihkan maruah mereka bukannya mengharapkan orang lain melakukannya. Maruah orang Melayu tidak akan pulih jika perkara itu diserahkan kepada orang lain.

Dalam tembubual dengan stesen radio Hotfm pada 9 Oktober lalu, Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu jika ingin berjaya mereka perlu melaksanakan tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin dan jika diberi kuasa, jangan menyalahguna kuasa atau melakukan perkara yang dilarang.

Temubual itu disiarkan stesen radio itu pagi tadi. Selain mendengar menerusi siaran Hot FM, peminat juga boleh menonton video penuh temu bual eksklusif itu di platform digital YouTube Hot TV dan Facebook Hot FM.

Geng Pagi Hotfm diwakili penyampai radio, Shuk, Shuib dan Fizie.

Dalam temubual itu, Dr Mahathir turut mengulangi nasihatnya supaya orang Melayu tidak hanya mengharapkan kerajaan membuat dasar dan membuka peluang kepada mereka tetapi tidak menggunakannya.

“Jika dasar dan peluang ada tetapi kita tidak mengambilnya maka kita tidak dapat memulihkan maruah kita,” katanya.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai slogan Malaysia Boleh yang diperkenalkannya suatu ketika dulu bagi menunjukkan bahawa orang Melayu boleh melakukan sesuatu dan mencipta kejayaan.

Slogan Malaysia Boleh itu juga bagi menunjukkan bangsa Malaysia boleh dan Malaysia sebagai sebuah negara boleh melakukan apa yang orang lain boleh buat.

“Jangan kata kita tidak boleh, sehinggakan ada yang berjaya mendaki Gunung Everest dan ada yang berenang menyeberangi Selat Inggeris dan macam lain, itu menunjukkan apa yang orang lain ,” katanya.

Mengenai ciri dan karektor yang perlu ada pada pemimpin masa depan untuk negara ini, Dr Mahathir menegaskan pemimpin masa depan perlu mempunyai keikhlasan untuk bekerja dan memberi tumpuan menjalankan kerja yang diamanahkan.

Paling penting tegasnya, pemimpin berkenaan bukannya hanya bekerja untuk dirinya saja tetapi bekerja untuk rakyat dan perlu lebih rajin daripada orang yang dipimpin.

“Pemimpin itu juga perlu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang yang dipimpinnya,” katanya.

Berita Harian X