Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:35pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

WKB 2030 untuk kurangkan jurang kemiskinan - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) bermatlamat merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa WKB 2030 bukan satu dasar yang bertujuan mewujudkan gaji dan pendapatan yang sama dalam kalangan rakyat.

Dasar itu jelas beliau dirancang dan dilaksanakan bagi mengelak wujud perasaan marah, benci dan iri hati dalam kalangan golongan miskin terhadap golongan kaya.

Dalam mana-mana masyarakat, kita akan dapati masyarakat kaya dan miskin. Dalam masyarakat yang maju, yang kaya akan menjadi begitu kaya, tetapi yang miskin daif sangat. Maka kita kena kurangkan jurang ini.

Kalau ada jarak terlalu jauh, akan timbul perasaan marah benci dan iri hati dalam kalangan miskin. Bila sampai satu tahap ia mungkin meluap, mereka mungkin akan cetuskan huru hara.

“...kita kena kurangkan jarak itu supaya mereka tidak berasa terpisah sangat. Itu tujuan kemakmuran bersama, bukan hendak dapat sama gaji dan pendapatan tetapi hendak kurangkan jarak miskin kaya,” katanya.

Perdana Menteri membuat penjelasan itu ketika ditemubual Geng Pagi Hot (GPH) iaitu Shuk, Shuib dan Fizie.

Ketiga-tiga penyampai radio Hotfm terbabit berpeluang bertemu dan menemubual pemimpin nombor satu negara itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, pada 9 Oktober lalu.

Rakaman temu bual bersama Perdana Menteri disiarkan di stesen radio terbabit pada jam 6 pagi hingga 10 pagi tadi.

WKB 2030 dilancarkan Perdana Menteri pada 5 Oktober lalu yang antara lain akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi Malaysia melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi di samping memperkasa kuasa beli rakyat.

Wawasan itu juga bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.

Dr Mahathir dalam temu bual itu turut menuntut masyarakat menyambut peluang pekerjaan, perniagaan dan latihan disediakan kerajaan sebagai inisiatif meningkatkan pendapatan mereka.

“Mereka mesti sambut, kalau tidak, mungkin tidak berjaya. Umpamanya kalau kita wujudkan peluang pelajaran tapi tak nak belajar dan kalau wujud peluang pekerjaan tapi tak nak kerja.

“Tak mungkin akan dapat tambah pendapatan mereka atau beri mereka pendapatan yang boleh kurangkan jarak mereka dengan kaya,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta masyarakat sentiasa menanam semangat yang tinggi untuk berkerja dan melakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin walaupun upah diterima tidak begitu setimpal dengan kerja dilakukan.

“Saya utamakan semangat. Saya tidak berapa utamakan upah dan sebagainya. Bagi saya, kalau upah tidak besar tetapi kalau ada semangat nak kerja, kita akan bekerja lebih baik.

“Kalau kita bergantung kepada upah saja, tentu prestasi kerja kita tidak baik pasal kita kerja sebab nak dapat duit. Akan tetapi kalau kerja kerana semangat, itu kerana diri kita sendiri berminat untuk bekerja,” katanya.

Berita Harian X