Selasa, 15 Oktober 2019 | 6:38pm
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Hasil kajian mekanisme subsidi petrol M40 diumum pada 2020 - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan hasil kajian mengenai mekanisme subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) pada tahun depan.

Kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme itu yang dijangka siap menjelang Mac, 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini.

“Kajian membabitkan M40 itu dijangka siap pada Mac dan kita akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya selepas sesi ‘In Conversation with the Finance Minister and Halifax Bank of Scotland whistleblower, Paul Moore,’ (Bicara Bersama Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan Pemberi Maklumat Halifax Bank Of Scotland, Paul Moore) di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Rakan Kongsi dan Ketua Perundingan Risiko dan Perkhidmatan Forensik PwC Malaysia, Alex Tan, diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019.

Di Dewan Rakyat pagi tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata kira-kira lima juta pemandu daripada golongan M40 dijangka turut menerima manfaat menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar.

Jumlah itu adalah tambahan penerima PSP daripada 2.9 juta daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Mengikut pengumuman Bajet (Belanjawan 2020) Jumaat lalu, jika sebelum ini kita gunakan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan 2.9 juta penerima dikenal pasti, apabila dibuka kepada golongan lain termasuk M40, dianggarkan (penerima) menjadi kira-kira lapan juta dengan membabitkan jumlah RM2.2 bilion," katanya.

Jumaat lalu, Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan kelompok yang tidak tergolong dalam B40 juga boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menegaskan bahawa Belanjawan 2020 boleh disifatkan sebagai pemangkin bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelbagai insentif yang disenaraikan selain tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

Kementerian Kewangan akan turut mempertimbang cadangan untuk memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya ia tidak membebankan rakyat.

Terdahulu ketika berucap, Lim berkata Malaysia adalah antara segelintir kecil ekonomi dunia yang menikmati pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih pantas pada suku kedua berbanding sebelum ini.

“Pembaharuan institusi kita adalah teras kepada daya tahan ekonomi negara ini,” katanya.

Susulan pencapaian prestasi yang lebih kukuh bagi separuh pertama 2019, KDNK itu dijangka mencecah sekitar 4.7 peratus tahun ini berbanding 4.8 peratus pada 2020.

Jika 2018 dan 2019 menjadi tahun untuk kerajaan menumpukan kepada usaha membersihkan kerajaan, 2020 sebaliknya menjadi tahun untuk kerajaan tampil dan membuat lonjakan bagi menyertai senarai negara-negara maju.

Skandal lampau telah menjadikan Malaysia menjadi tumpuan global atas sebab yang salah serta mengikis sebahagian besar keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk melindungi kepentingan pelabur, perniagaan dan rakyat mengikut ketetapan undang-undang.

Sehubungan itu, kerajaan kini dalam proses membina semula keyakinan rakyat serta melaksanakan antara lainnya pentadbiran bebas rasuah menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Selain itu, pembabitan tenaga kerja wanita yang rendah iaitu sekitar 55 peratus adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dan angka itu lebih rendah daripada sasaran kerajaan sebanyak 60 peratus.

Bank Dunia dalam laporannya baru-baru ini menyatakan pendapatan perkapita negara boleh meningkat 26 peratus jika negara dapat menghapuskan semua kekangan yang dihadapi wanita dalam pasaran pekerjaan. – BERNAMA

Berita Harian X