Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:11pm
Norlin (dua dari kiri) berkata, keutamaan usaha penambahbaikan pelan tindakan adalah bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan dan isu pencemaran lain di negara ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

JAS tambah baik pelan tindakan pencemaran

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menambahbaik Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan menggunakan peruntukan disalurkan dalam Belanjawan 2020.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, berkata keutamaan usaha penambahbaikan pelan tindakan adalah bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan dan isu pencemaran lain di negara ini.

“Ia perlu dilakukan kerana berlaku banyak kes pembakaran, termasuk membabitkan kawasan tanah gambut dan sampah sarap di negara ini yang memerlukan pelan tindakan lebih komprehensif.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti tapak haram yang digunakan bagi tujuan pembakaran terbuka,” katanya selepas menghadiri Sidang IdeaXchange Ke-32, di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, RM30 juta diperuntukkan kepada JAS dan Jabatan Kimia bagi menangani isu pencemaran di negara ini.

Antara lain, peruntukan itu bertujuan meningkatkan keupayaan dan kapasiti kedua-dua agensi terbabit dalam menangani isu berkenaan.

Norlin ketika mengulas lanjut, berkata penambahbaikan pelan tindakan itu turut membabitkan elemen pemantauan dan penguatkuasaan melalui usaha meningkatkan keupayaan logistik serta peralatan.

Ia termasuk pembelian aset kenderaan di peringkat negeri, khususnya bagi keperluan kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Berita Harian X