Rabu, 16 Oktober 2019 | 12:53pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) 2019 di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

SOSMA diperlukan kekang keganasan - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih diperlukan bagi mengekang aktiviti keganasan serta anasir dalam dan luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata undang-undang terbabit memang wajar dan perlu kerana ketiadaan akta sebegitu sebegitu, mereka (pengganas) akan terlepas hingga boleh menimbulkan bahaya kepada negara.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada tidak memadai maka penguatkuasan yang efektif adalah dengan menggunakan SOSMA.

“Apabila berkata tentang pemansuhan SOSMA, dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), tidak ada pendirian yang mengatakan ia dihapuskan tetapi hanya meneliti mana-mana bahagian yang boleh diperbaiki yang didakwa tidak selaras hak asasi manusia dan zalim.

“Ada beberapa fasal perlu diteliti seperti akses khidmat guaman, tempoh reman 28 hari yang dikatakan agak panjang.

“Penambahbaikan SOSMA sudah mula dibincang dengan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan input dan maklum balas sejak awal tahun ini malah kita sudah bawa ke peringkat pertama Kabinet tetapi Kabinet berpendapat ia perlu diperhalusi,” katanya selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara 2019 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menegaskan SOSMA masih diperlukan namun beberapa penambahbaikan harus dilakukan.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan penambahbaikan dilakukan, proses libat urus dengan pelbagai badan pertubuhan diuruskan.

“Selepas penambahbaikan dilakukan kelak dengan pembabitan pihak tertentu, ia akan dibentang semula kepada Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen yang membolehkan semua pihak berpuas hati.

“Apa yang saya boleh katakan, ia mungkin tak sempat pada sidang Parlimen kali ini tetapi kita akan bawa pada penggal tahun 2020,” katanya.

Ditanya mengenai kegiatan beberapa pihak dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Muhyiddin berkata, polis mengambil tindakan berdasarkan sumber yang kukuh yang dikumpulkan Cawangan Khas.

“Kita berpendapat sudah cukup banyak bukti, dan disahkan pihak Pendakwa Raya bahawa kita mempunyai asas kukuh tindakan undang-undang ke atas mereka yang disyaki terbabit dengan LTTE,” katanya.

Berita Harian X