Rabu, 16 Oktober 2019 | 3:15pm
BEKAS Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar. - Foto Salhani Ibrahim

Tempatkan pegawai SPRM terpilih, faham selok belok korporat

KUALA LUMPUR: Seramai 75 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditempatkan di Unit Integriti Agensi Awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dipilih dalam kalangan yang berpengetahuan dalam bidang korporat.

Bekas Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar, berkata ia bagi membolehkan tindakan pantas diambil pegawai tertentu untuk mengesan potensi berlaku sogokan dan amalan rasuah.

Katanya, pemahaman mengenai selok-belok dunia korporat juga membolehkan individu berkenaan mengenal pasti masalah di sebalik sistem tadbir urus syarikat seterusnya tampil membantu menyelesaikan isu berbangkit.

“Selain itu, pegawai terbabit wajar didedahkan dengan latihan dan kursus khas berkaitan sebelum memulakan tugas di unit integriti dan GLC terbabit.

“Ia secara tidak langsung akan memberi idea dan kaedah bekerja dengan penyesuaian persekitaran baharu selain memahami dasar integriti secara lebih mendalam.

“Pegawai terbabit akan didedahkan bukan sahaja membabitkan proses siasatan, malahan aspek lain termasuk usaha pencegahan rasuah secara profesional.

“Pegawai yang ada ilmu seperti itu secara lazimnya melalui kursus berkenaan,” katanya pada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata pegawai sedia ada perlu memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan berhubung kepentingan integriti kepada kakitangan syarikat itu secara berterusan.

Katanya, kepemimpinan melalui teladan, berani kerana benar, adil dan tegas antara sifat yang perlu diterapkan dalam kakitangan itu.

“Ia membolehkan kakitangan berkenaan mengambil alih tugas pegawai berkenaan pada masa depan.

“Pegawai SPRM berkaitan kemudian boleh dikembalikan ke jabatan masing-masing atau jabatan yang kekurangan pegawai,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dilaporkan berkata penempatan pegawai itu sebagai langkah dalam memastikan setiap agensi dan GLC lebih peka serta sensitif dalam urusan dijalankan dengan integriti tinggi.

Latheefa berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan sesebuah agensi atau GLC tidak terpalit dalam perbuatan rasuah.

Berita Harian X