Rabu, 16 Oktober 2019 | 5:08pm

2 bulan untuk lengkapkan data M40 sebagai penerima PSP

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mencari mekanisme bagi melengkapkan data golongan berpendapatan sederhana (M40) dalam tempoh dua bulan ini sebelum melaksanakan Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar untuk golongan itu tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mencari beberapa keperluan lain dari segi data M40 sebelum PSP dilaksanakan.

Jelasnya, ini kerana pelaksanaan itu akan berpandukan kepada data daripada Kementerian Kewangan seperti penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk golongan B40.

“Kita tidak mempunyai data mengenai M40 dan golongan M40 ini perlu mendaftar sebagai penerima sama seperti B40 menerusi portal psp.kpdnhep.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Wacana Menteri dan Pelancaran Program Foodbank Siswa UMP di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, golongan M40 yang layak menikmati PSP bersasar tahun depan akan menggunakan mekanisme sama seperti penerima PSP untuk golongan B40.

Bagaimanapun, golongan terbabit perlu mendaftar sebagai penerima di portal rasmi PSP memandangkan golongan itu tidak mempunyai rekod seperti penerima BSH.

Jelasnya, kriteria penerima PSP untuk M40 sama seperti B40 iaitu berdasarkan pendapatan M40 dan memiliki kenderaan di bawah kapasiti enjin 1,600cc untuk kereta dan 150cc untuk motosikal.

“Kriteria (penerima) sama dengan mengikut pendapatan M40 dan cukai jalan mesti hidup. Bagi pemilik kenderaan lebih 1,600cc juga layak memohon, tetapi, kenderaan itu mestilah berusia lebih 10 tahun.

“Ketika ini, kita sedang menggerakkan subsidi untuk B40 dulu kerana golongan ini sudah mempunyai data BSH. Bagaimanapun, kita tahu jumlah kenderaan yang layak menerima PSP,” katanya.

Tambah Saifuddin, ketika ini portal berkenaan mengalami kesesakan kerana terlalu banyak akses, yang menyebabkan keupayaan pelayan (server) menjadi perlahan.

“Seawal semalam kita sudah menerima panggilan dan portal ini sekarang menjadi paling ‘top’. Selain itu, kita turut menyediakan sembilan talian telefon termasuk aplikasi WhatsApp bagi memudahkan orang ramai bertanya,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020, mengumumkan kelompok yang tidak tergolong dalam B40 juga boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak tetapi tidak tersenarai dalam BSH.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali di lobi Parlimen semalam yang tular di media sosial, Saifuddin berkata pertemuan itu berlaku secara spontan.

Katanya, perbincangan mereka tidak menyentuh soal parti mahupun politik, sebaliknya, membincangkan secara serius mengenai indeks kemiskinan dan beberapa pengumuman dalam Belanjawan 2020.

“Ya, memang kami ada duduk bersama minum kopi dan makan roti berisi kaya, keju dan planta. Sejujurnya, perbincangan itu tidak seperti yang digembar-gemburkan media, seolah-olah mereka (Anwar dan Azmin) berperang.

“Ketika itu, saya dan Azmin berdiri sebelum diajak Anwar untuk duduk minum bersama. Saya sentiasa berhubung dengan Azmin dan soal mereka berperang itu tidak timbul seperti yang diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan 30 minit mereka itu lebih tertumpu kepada urusan kerajaan dan Parlimen, tanpa menyentuh isu berat mengenai parti.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada majlis pelancaran Program Foodbank Siswa UMP di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X