Rabu, 16 Oktober 2019 | 6:18pm
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto NSTP

'Bumiputera Sabah, Sarawak bukan rakyat kelas dua'

KUALA LUMPUR: Pandangan mengaitkan rakyat Sabah dan Sarawak seolah-olah sebagai warganegara kelas kedua, mencerminkan pemikiran yang ketinggalan lebih 60 tahun lamanya.

Lantang mempertahankan integriti rakyat Malaysia Timur, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (PBS-Kota Marudu) berkata, kenyataan seorang ahli akademik yang didakwa menyebut ‘Malaysia hanya untuk Melayu, Melayu untuk Malaysia’ tidak mencerminkan kedudukannya sebagai ilmuwan.

Malah, apa yang didakwa diucap oleh Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, itu adalah penghinaan kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak,

“Negara ini didiami masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni sejak pembentukan Malaysia lebih 56 tahun lalu dan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 62 tahun lalu.

“Di Sabah dan Sarawak yang majoriti penduduknya Bumiputera meliputi Islam atau bukan Islam, kami hidup harmoni sejak sekian lama.

“Kami juga rakyat Malaysia dan adakah kami dianggap rakyat kelas kedua? Saya juga ahli akademik dan kenal lama dengan beliau, sepatutnya kenyataan itu tidak dibangkitkan kerana boleh menggugat keharmonian kaum,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ongkili berkata, Dewan Rakyat sendiri dianggotai pemimpin berbilang kaum dan agama.

Walaupun Melayu paling ramai, katanya, ada juga dalam kalangan Ahli Parlimen mewakili kaum Bumiputera, Cina, India dan Orang Asli.

“Tidak masuk akal sama sekali mengatakan Malaysia hanya untuk Melayu, malah pemikiran seperti itu tidak sepatutnya dibangkitkan ahli akademik. Begitukah otak kita sebagai pentadbir,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ongkili mahu kertas putih mengenai kegagalan Wawasan 2020 dibentangkan di Parlimen supaya rakyat mengetahui tahapnya, sama ada gagal sepenuhnya atau ada kejayaan dicapai.

Tertarik dengan cadangan itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) bingkas bangun menyokong cadangan berkenaan.

Ongkili meminta pembangunan di Sabah dan Sarawak diteruskan sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 kerana ia masih diperlukan rakyat, terutama di luar bandar.

“Percepatkan juga pemberian royalti minyak dan pembahagian peruntukan yang adil sejajar semangat perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Berita Harian X