Rabu, 16 Oktober 2019 | 7:17pm
Wong Chen (PH-Subang).

'Lindungi rakyat, bukan korporat'

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menyediakan dana sosial sejajar usaha mengotakan iltizam meningkatkan taraf hidup rakyat, dan bukannya dana korporat yang hanya memanfaatkan golongan kaya.

Membayangkan krisis kewangan mungkin melanda tahun depan, Wong Chen (PH-Subang) membangkitkan persoalan sama ada kerajaan mempunyai dana mencukupi bagi mempertahankan ekonomi negara.

Lebih penting, soalnya, ialah sama ada dana secukupnya akan digunakan untuk perbelanjaan sosial kepada rakyat atau menolong korporat dan golongan orang kaya.

Mengambil iktibar krisis kewangan Asia yang melanda pada 1997-1998, beliau mengimbau kerajaan waktu itu lebih memberi perhatian terhadap usaha membantu golongan kaya walaupun beratus ribu rakyat kehilangan pekerjaan.

“Walaupun harta mereka merosot 30 peratus, semua yang kaya pergi ke London, memulihkan diri daripada tekanan kewangan di apartmen mewah.

“Taikun mendapat segala-galanya, rakyat biasa terpenjara dengan gaji rendah.

“Kerajaan PH mesti melakukan jauh lebih baik daripada BN (Barisan Nasional) dan kalau benar kita berdepan krisis kewangan global, dahulukan rakyat, bukannya korporat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Walaupun Belanjawan 2020 menampakkan perbelanjaan kerajaan menurun daripada RM316 billion pada 2019 kepada RM299 billion tahun depan, beliau menjelaskan, ia sebenarnya mencatat peningkatan tujuh peratus.

Angka itu diperoleh jika ditolak faktor ‘one off’ berjumlah RM37 bilion sebagai bayaran rebat Cukai Barang Perkhidmatan (GST) dan rebat khas cukai pendapatan tahun lalu kepada gologan korporat.

“Ini adalah belanjawan mengembang dan ia baik kerana kemungkinan besar ekonomi dunia mengalami kemelesetan serius tahun depan,” katanya.

Menyentuh aspek barah rasuah yang terus berakar, Wong Chen menyarankan kerajaan menyalurkan dana secara terus kepada parti politik, sebagai usaha mengekang perbuatan meminta-minta.

Mengakui rasuah terus berlaku atas sifat naluri manusia, beliau berkata, ia boleh dikekang jika ahli Parlimen dan parti politik diberi pembiayaan mencukupi.

“Kita boleh memulakan proses dasar antirasuah dengan menaikkan pembiayaan bagi ahli Parlimen mengendalikan pejabat masing-masing.

“Skopnya boleh diperbesar merangkumi pembiayaan pegawai politik supaya ahli Parlimen boleh berpolitik tanpa rasuah.

“Kalau tidak, ahli Parlimen akan cari duit melalui kontrak, derma khas daripada Tan Sri, Datuk Seri untuk menjaga anak buah politiknya,” katanya.

Masalah rasuah, tegas Wong Chen, boleh diatasi dengan peningkatan peruntukan pejabat ahli Parlimen ke RM800,000 setahun. Kawan-kawan kita dari sebelah sana (pembangkang), UMNO, PAS, GPS sekarang ini hanya dapat RM100,000 sahaja.

“Kita boleh tingkatkan dana mereka menjadi RM800,000, layanan adil buat PH dan pembangkang.

“Jumlah peningkatan dana pejabat semua ahli Parlimen hanya membabitkan belanjawan tambahan RM130 juta sahaja,” katanya sambil disambut tepukan meja tanda setuju.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) melihat cadangan kerajaan menambah 100 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai iltizam padu ke arah memperkasakan penguatkuasaan.

Menganggapnya belum mencukupi, Presiden UMNO itu mencadangkan angkanya ditambah kepada 300 orang bagi memastikan agenda integriti nasional terus diperkasakan.

“Aset dan kelengkapan terkini perlu ditambah ke arah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan SPRM dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan,” katanya.

Berita Harian X