Rabu, 16 Oktober 2019 | 9:52pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar sekeluarga di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Twitter Mahathir Mohamad
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar sekeluarga di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Twitter Mahathir Mohamad

Dr Mahathir terima kunjungan mangsa insiden Christchurch

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan daripada mangsa insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya.

Menerusi catatan di Twitter dan Facebook rasmi Perdana Menteri, mangsa kejadian, Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar hadir bersama keluarga masing-masing.

“Dalam pertemuan itu kedua-dua mereka berkongsi rasa tidak berdendam selepas kejadian itu sebaliknya bersyukur melihat sokongan yang diberikan rakyat dan kerajaan New Zealand, malah melihat rakyat negara itu menunjukkan minat untuk memahami dan mempelajari berkenaan Islam,” menurut catatan itu yang turut disertakan dengan empat keping gambar berhubung pertemuan berkenaan.

Rahimi dan Mohd Nazril Hisham adalah dua daripada tiga rakyat Malaysia yang cedera ketika insiden tembakan rambang yang berlaku pada Jumaat, 15 Mac lalu.

Seorang lagi mangsa yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib yang turut kehilangan anak lelakinya Muhammad Haziq, 17.

Muhammad Haziq adalah antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang itu yang dilakukan seorang lelaki pengikut ideologi ketuanan bangsa kulit putih di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

– BERNAMA

Berita Harian X