Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:37pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Datuk Aliasak Ambia (empat dari kiri) bersama para ahli PKPKM ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-22 Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA

PKPKM rayu kerajaan teruskan bantuan bukan dalam bentuk pinjaman

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) merayu bantuan tanam semula kelapa sawit diteruskan tetapi bukan dalam bentuk pinjaman.

Presidennya, Datuk Aliasak Ambia, berkata jika bantuan terbabit diberi dalam bentuk pinjaman, ia akan menyebabkan kawasan tanam semula berkurangan.

“Dalam Belanjawan 2020, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM550 juta bagi pekebun kecil tetapi dalam bentuk pinjaman.

“Ini bermakna pekebun kecil kelapa sawit tidak lagi membuat kerja tanam semula dengan cara bantuan seperti dinikmati sejak 2011 hingga tahun lalu.

“PKPKM sudah mengkaji perkara ini sejak dulu lagi dan penukaran bantuan kepada pinjaman tidak banyak memberi manfaat kepada pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Ke-22 PKPKM, di sini, hari ini.

Aliasak menjelaskan, jika kerja penanaman semula berkurangan akibat perubahan drastik dasar kerajaan, ia akan turut menjejaskan pencapaian menerusi pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO).

“Pekebun kecil juga akan dihantui beban hutang. Seharusnya, kerajaan tidak menggalakkan hutang kerana ini akan menimbulkan pelbagai isu lain.

“Sebenarnya, bantuan tanam semula kelapa sawit ini disifatkan sebagai pelaburan kerajaan dalam industri sawit negara,” katanya.

PKPKM turut memohon kerajaan melaksanakan pembangunan pekebun kecil menerusi koperasi sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama.

Berita Harian X