Khamis, 17 Oktober 2019 | 5:58pm
AHLI Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

'Terima Bangsa Malaysia dengan positif'

KUALA LUMPUR: Idea yang menjurus kepada penggabungan parti politik Melayu dalam usaha membentuk Bangsa Malaysia perlu dipandang positif semua pihak.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata agenda Bangsa Malaysia sukar dicapai jika Malaysia terus berpecah.

Melihat kepada geo politik Malaysia, orang Melayu mesti bersatu dalam apa juga keadaan bagi membolehkan mereka memimpin Bangsa Malaysia.

“Orang Melayu tidak boleh dipecahkan untuk memimpin.

“Justeru, gagasan untuk menyatupadukan orang Melayu harus dipandang positif bagi memahami apakah hala tuju masa depan negara ini yang mahu membina Bangsa Malaysia.

“Kita tidak mampu mempunyai kumpulan (Melayu) yang berbeza-beza dalam usaha menyatukan Bangsa Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Gesaan supaya orang Melayu bersatu sebelum ini disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu lebih ramai wakil rakyat pembangkang khususnya daripada UMNO menyertai BERSATU.

Dalam ucapannya ketika Kongres Maruah Melayu baru-baru ini, Dr Mahathir mengingatkan pemimpin politik Melayu bahawa nasib bangsa itu mungkin terancam jika terus memilih haluan untuk berpecah.

UMNO dan PAS, dua parti politik Melayu terbesar negara sebelum ini membentuk Muafakat Nasional dalam usaha menyatukan suara Melayu, serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan tidak dapat menjelaskan ada kerangka penyatuan Melayu ke arah membina Bangsa Malaysia sudah direncana pimpinan termasuk syarat penggabungan yang mungkin sudah ditetapkan.

“Saya tidak mempunyai butiran mengenai kerangka itu, jika ada syarat berkaitan untuk bersatu tetapi ia harus dipandang positif,” katanya.

Berita Harian X