Jumaat, 18 Oktober 2019 | 12:27pm
Kenderaan membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk memberi keterangan berhubung fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Fitnah Kor Ming, Najib ke Bukit Aman beri keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini, bagi memberi keterangan berhubung satu hantaran di akaun Facebook (FB) miliknya yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Beliau tiba menaiki kenderaan PROTON Perdana berwarna hitam pada jam 11 pagi diiringi pengiring bermotosikal masuk melalui pintu utama.

Difahamkan, beliau akan memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung hantaran yang dimuat naik olehnya.

Kor Ming sebelum ini menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor, membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Kor Ming menganggap tindakan Najib itu sebagai cubaan merosakkan namanya dan menghasut rakyat membencinya serta parti.

Berita Harian X