Jumaat, 18 Oktober 2019 | 2:52pm

Hanya 8 setuju bayar kompaun - SPRM

PUTRAJAYA: Hanya lapan daripada 80 individu dan entiti yang menerima notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diselewengkan, sudah bersetuju membayar kompaun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata 40 peratus daripada mereka pula mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap SPRM.

“Sebanyak 45 peratus lagi menghantar surat rayuan kepada SPRM, manakala tiga individu tidak mahu menerima notis kompaun terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti dipercayai menerima dana 1MDB yang diselewengkan.

Notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Keseluruhan wang disyaki diterima semua individu dan entiti terbabit dianggarkan RM420 juta dengan masing-masing membabitkan antara RM100,000 hingga RM134 juta.

Antara berada dalam senarai itu ialah bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak; bekas Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan bekas menteri, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Azam menegaskan, SPRM mengeluarkan notis itu mengikut undang-undang dan jika ada yang mempertikaikan jumlah serta pengiraan bagi menentukan kompaun, terpulang kepada pihak terbabit untuk mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, SPRM menubuhkan pasukan khas, baru-baru ini, bagi membuat penyelarasan dan mengesan semua aset serta wang milik 1MDB di luar negara.

“Pasukan ini sedang cuba mengesan di mana aset 1MDB berada dan pihak mana yang perlu bekerjasama seperti di Amerika Syarikat serta New Zealand.

“Pasukan ini akan menghubungi penyiasat di negara berkenaan untuk berbincang dan berusaha mendapatkan semula aset dan wang milik 1MDB di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menganggarkan jumlah sebenar aset dan wang milik 1MDB di luar negara, namun usaha mengesannya giat dijalankan.

Berita Harian X