Jumaat, 18 Oktober 2019 | 4:14pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng.
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng.

Malaysia terus sokong multilateralisme, capai pertumbuhan mampan

PUTRAJAYA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan berkembang tiga peratus tahun ini berbanding jangkaan awal 3.3 peratus, berikutan ketegangan dagangan yang berterusan.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pertumbuhan global dijangka lebih pesat pada 3.4 peratus pada 2020 daripada 3.0 peratus pada 2019.

“Pertumbuhan KDNK 2020 yang lebih pesat pada 3.4 peratus berbanding kadar tiga peratus pada 2019 sejajar prospek Malaysia untuk jangkaan pertumbuhan Belanjawan 2020.

“Ia pada kadar lebih tinggi iaitu 4.8 peratus, berbanding kadar pertumbuhan dijangka untuk 2019 iaitu 4.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia hari ini mengambil tempat sebagai Pengerusi Southeast Asia Voting Group (SEAVG) Kumpulan Bank Dunia (WBG)-IMF untuk Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bersama ke-52 kelompok itu.

“Mesyuarat diadakan di Washington DC , Amerika Syarikat (AS) pagi ini sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Tahunan WBG-IMF 2019 membabitkan 10 negara ASEAN, Nepal dan beberapa negara Kepulauan Pasifik.

“Pada Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bersama yang saya pengerusikan, mesyuarat membincangkan prospek pertumbuhan global, kesan perang dagangan dan berkenaan ekonomi digital yang menggunakan Malaysia sebagai contoh,” katanya.

Guan Eng berkata, Malaysia akan terus menyokong multilateralisme untuk mendapatkan perdagangan bebas lagi adil, juga liberalisasi perdagangan yang tidak melumpuhkan secara tidak adil dan mengenakan tarif pada negara membangun.

“Multilateralisme dan kolaborasi antarabangsa adalah perkara asas yang memungkinkan pelaksanaan berterusan, padu dan berintegrasi merentas sempadan.

“Multilateralisme yang memanfaatkan semua bersifat inklusif dan hasil lebih baik daripada unilateralisme yang hanya mahu menguntungkan sesebuah negara.

“Di penghujungnya, seperti perang dagangan antara AS dan China yang membawa kebinasaan lingkungan kepada negara lain, unilateralisme akan merugikan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyeru semua negara berganding bahu ke arah meluaskan kolaborasi antarabangsa untuk mencapai hasil perdagangan saling memanfaat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X