Jumaat, 18 Oktober 2019 | 6:42pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggota Maritim Malaysia dijangkiti Zika meninggal dunia

IPOH: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dijangkiti virus Zika meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya masih melakukan siasatan bagaimana pesakit berusia 30 tahun itu boleh mendapat jangkitan itu, termasuk pergerakan dan perhubungan mangsa serta sama ada ia berkaitan dengan jangkitan lain terhadap pesakit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Leftenan Muda (Maritim) Mohamad Ikmal Ibrahim disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pada jam 4.45 pagi, selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Mohamad Ikmal adalah mangsa pertama meninggal dunia akibat virus Zika di negara ini tahun ini, dan kes kesembilan dilaporkan sejak empat tahun lalu yang mana lapan kes berlaku pada 2016.

Allahyarham yang bertugas di Kapal Maritim (KM) Nusa Maritim Terengganu meninggalkan seorang balu, Siti Salbiah Roslie yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja.

Kes pertama jangkitan Zika yang direkodkan di negara ini membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun di Bandar Botanic, Klang pada 1 September 2016.

Dua hari kemudian, satu lagi kes dicatatkan membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun di Likas, Kota Kinabalu, Sabah, yang kemudian meninggal dunia pada hari sama akibat komplikasi jantung.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya sejurus mendapat laporan penuh mengenai kematian mangsa.

Berita Harian X