Jumaat, 18 Oktober 2019 | 7:16pm
KETUA Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah menyampaikan ucapan pada Program Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat AADK bagi Tahun 2019, di Ibu Pejabat AADK, Sungai Merab, Bangi. NSTP/Azhar Ramli.

Staf AADK yang tidak obes mudah naik pangkat

KAJANG: Mulai tahun depan, kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memiliki berat badan ideal lebih cerah peluangnya untuk menikmati kenaikan pangkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata ia syarat tambahan yang akan dilaksanakan tahun depan.

Katanya, kakitangan yang memiliki berat badan ideal secara langsung diberi markah bonus selain kelayakan lain yang dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.

“Syarat itu diperkenal sebagai inisiatif kepada kakitangan yang memiliki kesungguhan menjaga berat badan dan kesihatan mereka.

“Ia adalah bersesuaian dengan tugas AADK sebagai badan keselamatan dan penguatkuasaan yang perlu dilihat sentiasa sihat dan cergas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara dan Cabaran 180 Hari Sihat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK, Dr Sabri Zainuddin Zainul dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) ADDK, Datuk Izhar Abu Talib.

Pada majlis itu, Zulkifli menyampaikan sijil dan hadiah kepada tiga pemenang utama program Cabaran 180 Sihat yang berjaya mengurangkan berat badan antara 11 kilogram hingga 20 kilogram.

Beliau turut mengumumkan program senaman untuk seluruh kakitangan AADK selama lima minit setiap pagi akan dilaksanakan serta-merta sebagai satu gaya hidup sihat.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, AADK sebenarnya berhadapan masalah kekurangan pegawai untuk program pengawasan di luar pusat pemulihan AADK.

Katanya, bayangkan ketika ini ada segelintir kawasan, seorang pegawai terpaksa mengawas 200 hingga 300 pesakit.

“Bagi mengatasi isu berkenaan AADK mewujudkan projek perintis dan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara ‘out source’ (penyumberan luar) untuk mengawas tiga kawasan terpilih.

“Ketika ini lebih 60,000 pesakit sedang mendapat rawatan di luar pusat pemulihan AADK manakala di pusat menempatkan 6,000 pesakit yang disahkan memiliki masalah ketagihan yang serius.

“AADK turut menyasarkan 65 peratus penagih berjaya pulih sepenuhnya pada tahun ini, ketika ini kita sudah mencapai 55 peratus penagih berjaya dipulihkan sepenuhnya.

“Pengulangan penagihan turut berpunca daripada kekurangan pegawai untuk mengawasi perkembangan mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pihaknya bersetuju cadangan untuk mengklasifikasikan penagih sebagai pesakit dan sewajarnya tidak dihukum penjara sebaliknya menerima rawatan dan pemulihan.

“Bagaimanapun, ia berbeza bagi individu atau penagih yang memiliki atau mengedarkan dadah walau sedikit kerana ada peruntukan undang-undang yang jika bersabit kesalahan boleh dihukum penjara.

“Jika penagih dadah tetapi disabitkan jenayah lain, pihak penjara turut menyediakan pusat rawatan dan pemulihan kepada mereka.

“Selain itu, AADK turut mengambil bekas penagih bekerja di bawah Program Rakan Sebaya di mana mereka membantu penagih lain keluar dari masalah mereka dan pulih sepenuhnya,” katanya.

Berita Harian X