Jumaat, 18 Oktober 2019 | 8:44pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Berskala Besar, di Kuala Muda. - Foto Nor Farhani Che Ad

Tiada sebab potong elaun Menteri, Timbalan Menteri - Mukhriz

SUNGAI PETANI: Menteri dan Timbalan Menteri mempunyai jadual yang padat sepanjang hari dan terpaksa mengagihkan tugas mengikut keperluan.

Jadi, tiada sebab pemotongan elaun dikenakan terhadap mereka yang didapati hadir ke sesi persidangan Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata tidak menjadi persoalan Menteri dan Timbalan Menteri tidak ada asalkan pegawai kementerian terbabit hadir dan mencatat semua hujah perbahasan.

“Kita maklum masing-masing ada tugas, walaupun begitu kami cuba sekerap mungkin untuk hadir untuk bersidang ke Parlimen,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Berskala Besar Kuala Muda, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli melalui kenyataan di portal media menyarankan mana-mana Ahli Parlimen, termasuk Menteri dan Timbalan Menteri yang ‘ponteng’ atau tidak hadir ke sesi persidangan Dewan Rakyat tanpa sebab, perlu dikenakan tindakan pemotongan elaun.

Mukhriz berkata, sebelum ini, cadangan sama pernah disuarakan pembangkang semasa kerajaan terdahulu memerintah, namun tidak pernah dilaksanakan.

“Zaman Barisan Nasional (BN) dulu pun payah nak dapat menteri dan timbalan menteri hadir ke Dewan Rakyat.

“Walaupun begitu saya lihat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sentiasa ada, ini inisiatif sangat baik bagi beliau yang mewakili Kementerian Kewangan,” katanya.

Berita Harian X