Jumaat, 18 Oktober 2019 | 9:00pm
TAN Sri Lee Lam Thye

DPN perlu tarik rakyat guna pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 diharap mampu memperbaiki kecekapan sistem pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat pada kenderaan persendirian.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye, yakin pengurangan pengangkutan individu dan barangan melalui jalan raya dapat membantu mengurangkan kesesakan serta kemalangan membabitkan kenderaan berat.

“Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia menyatakan kekecewaan kerana negara tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang cekap dan mereka harus bergantung pada kenderaan sendiri untuk bergerak, yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Kita harus menyambut baik rancangan kerajaan untuk meningkatkan rangkaian dan perkhidmatan kereta api kerana ia akan menggalakkan orang awam dan pihak lain menggunakannya untuk bergerak atau mengangkut barangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam melancarkan DPN yang menggariskan lima teras dan 23 strategi bagi memacu pertumbuhan sektor pengangkutan untuk tempoh 11 tahun akan datang.

Lam Thye yakin pelancaran DPN tepat pada masanya bagi memenuhi keperluan pengangkutan negara demi memacu kemajuan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Sektor pengangkutan memainkan peranan utama dan penting dalam pembangunan negara kerana ia adalah pemacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan memberi tumpuan pada aspek keselamatan dan mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang serius.

Malaysia mempunyai risiko kematian jalan raya tertinggi di kalangan negara ASEAN dengan anggaran kerugian akibat kemalangan jalan raya berjumlah RM8.8 bilion pada 2017.

Pada tahun sama, 63 peratus daripada 6,740 orang yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya ialah penunggang motosikal dan secara purata, lebih 4,000 penunggang motosikal maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.

“Dengan pengangkutan awam yang lebih baik, saya yakin pengguna jalan raya dapat mengurangkan penggunaan kenderaan, khususnya motosikal kecil yang lebih terdedah kepada kemalangan,” katanya.

Berita Harian X