Jumaat, 18 Oktober 2019 | 9:06pm
SEBAHAGIAN peserta yang mendaftar untuk menyertai Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2019 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang bakal berlangsung mulai hari ini hingga Isnin ini di Kampus IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto ihsan IPGKIK

Usul debat DeTIK 2019 dipantau ketat elak kontroversi

KUALA LUMPUR: Semua usul dibangkitkan dalam Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2019 yang bermula hari ini hingga Isnin ini diperhalusi ketat mengikut panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan penganjur bagi mengelak mencetuskan kontroversi.

Pertandingan yang memasuki edisi keenam itu anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), manakala Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sebagai rakan strategik, akan berlangsung di Kampus IPGKIK, Cheras, di sini.

Pengerusi penganjur, Wan Yusof Wan Ngah yang juga Pengarah IPGKIK, berkata menjadi keutamaan Jawatankuasa Teknikal pertandingan meneliti dan memastikan pemilihan usul perdebatan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum, kebudayaan dan isu yang boleh menggugat ketenteraman negara.

“Walaupun DeTIK sinonim dengan debat pendidikan, kami tidak akan memandang mudah usul yang dibahaskan pada setiap pusingan dan ia perlu menepati SOP ditetapkan.

“Perkara ini perlu ditekankan untuk memastikan pendebat tidak sewenang-wenangnya memperlekeh dan mengganggu keharmonian hidup masyarakat dengan membangkit dan memperjuangkan isu sensitif yang boleh mengundang kontroversi,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Penganjuran DeTIK kali ke-6 bertema `Pendidikan dan Pengurusan Pewarisan’ bersesuaian dengan peranan AmanahRaya sebagai rakan strategik utama DeTIK, selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Wan Yusof berkata, tema itu dipilih kerana ramai anggota masyarakat masih kurang cakna dalam ehwal pewarisan harta pusaka sehingga berlaku kes tuntutan pembahagian harta pusaka menyalahi hukum syarak, selain hak waris yang diabaikan.

Sebanyak 64 pasukan mewakili institusi pengajian tinggi mencakupi universiti awam (UA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara berkampung selama empat hari dan mereka bakal bertarung dalam perdebatan ala Parlimen British sebanyak tujuh sidang sebelum melangkah ke pentas final.

Antara pasukan mengambil bahagian termasuk juara bertahan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), IPGKIK, Kolej MARA Banting dan Kolej Profesional MARA Indera Mahkota.

Baru-baru ini, pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan menimbulkan kontroversi apabila meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta memaksa mereka ‘menulis semula al-Quran’ dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Selain itu, tajuk debat berkenaan turut menyentuh hukum homoseksual yang didakwa kononnya bukan satu dosa dalam Islam dan siasatan Kementerian Pendidikan mendapati ia bercanggah SOP ditetapkan.

Berita Harian X