Jumaat, 18 Oktober 2019 | 9:49pm

Permohonan ke Kolej Matrikulasi, IPG dibuka bulan ini

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Institut Pendidikan Guru (IPG) pengambilan sesi 2020/2021 akan dibuka selewat-lewatnya hujung bulan ini menerusi sistem dalam talian.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan permohonan dibuat menerusi Unit Pusat Universiti Online (UPUOnline) menerusi laman sesawang http://upu.moe.gov.my.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi terbabit dipelawa mengemukakan permohonan.

Bermula Sesi Akademik 2020/2021 permohonan kemasukan pelajar ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan diselaraskan di bawah ‘Single Window, Single Offer’.

Kemasukan diselaraskan Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi.

Berita Harian X