Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:47pm
EMPANGAN Chenderoh

Tiada pelepasan air Empangan Chenderoh malam ini

IPOH: Dakwaan kononnya akan berlaku pelepasan air Empangan Chenderoh, Lenggong, malam ini sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran tebing Sungai Perak, Kuala Kangsar seperti tersebar dalam media sosial, adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata tiada pelepasan air dari empangan berkenaan malam ini.

“Maklumat yang viral tu tidak betul, saya sudah berhubung dengan pihak Empangan Chenderoh untuk mendapat pengesahan.

“Pelepasan air biasanya perlu melalui prosedur tertentu,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau mengulas mengenai maklumat yang tersebar dalam media sosial terutama WhatsApp mendakwa empangan itu akan dibuka pada jam 8 malam tadi dan dijangka dalam tempoh empat jam, air akan sampai di Kuala Kangsar.

Mesej itu meminta semua pihak dan penduduk kampung yang berada di tebing sungai dan terbabit dengan aktiviti penangkapan ikan supaya berhati-hati dengan mendakwa maklumat itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Razali meminta orang ramai tidak membuat hebahan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Masyarakat jangan mudah percaya khabar angin yang tidak disahkan,” katanya.

Berita Harian X