Sabtu, 19 Oktober 2019 | 10:11am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

PM hadir majlis pelantikan Presiden, Naib Presiden Indonesia esok

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja ke Jakarta, esok, untuk menghadiri Majlis Pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi penggal 2019–2024 di Majelis Permusyawaratan Rakyat.

Perdana Menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, selain Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dan pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, lawatan itu melambangkan keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Indonesia, sekali gus akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan kedua-dua negara yang sudah lama terbina.

Pada majlis itu nanti, Joko Widodo yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Jokowi, akan mengangkat sumpah jawatan Presiden republik itu, sementara Ma’ruf Amin pula sebagai Naib Presiden. – BERNAMA

Berita Harian X