Sabtu, 19 Oktober 2019 | 12:14pm
EXCO Agama ARMADA Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin. - Foto ihsan Facebook Abu Hafiz Salleh Hudin

Kenyataan boleh beri persepsi buruk terhadap PDRM - ARMADA BERSATU

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegur kenyataan P Waytha Moorthy yang dilihat boleh menimbulkan persepsi buruk terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

EXCO Agama ARMADA Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara Dan Kesejahteraan Sosial) itu yang dilaporkan media, semalam, didakwa seolah-olah cuba mengelirukan rakyat terhadap tindakan PDRM.

Beliau mendakwa, kenyataan Waytha Moorthy seolah-olah menggambarkan PDRM menahan pihak yang ‘simpati kepada mangsa’ dan bukan pihak yang ada kaitan dengan LTTE.

“Kenyataan Waytha Moorthy mampu memberi persepsi buruk terhadap pihak PDRM dan secara tidak langsung berkemungkinan menyuntik semangat perkauman, seterusnya memberi kesan negatif kepada keharmonian negara.

“Waytha Moorthy yang memegang jawatan menteri perpaduan harus sedar diri. Jika tidak mampu menjunjung visi Malaysia Baharu, saya menyarankan beliau berundur kerana beliau akan menjadi beban kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam memelihara keharmonian dan perpaduan negara.

“Rakyat tidak akan menyokong parti yang ada pemimpin cenderung kepada fahaman ideologi keganasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Waytha Moorthy dilaporkan berkata, golongan yang menghulurkan bantuan kepada mangsa perang saudara di Sri Lanka tidak patut disalah anggap menyokong kumpulan LTTE.

Beliau dipetik sebagai berkata, apabila perang saudara tercetus di Sri Lanka ramai rakyat Malaysia menghantar bantuan kewangan bagi membina semula negara berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sudah mendapat penerangan polis berhubung penahanan 12 individu yang dikaitkan dengan LTTE.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, beliau berpuas hati dengan alasan dan bukti dimiliki polis, yang menjadi asas untuk penahanan itu dilakukan.

Berita Harian X