Sabtu, 19 Oktober 2019 | 7:49pm
Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hadir pada Majlis Istiadat Konvokesyen UTHM ke-19 di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, hari ini. - Foto ihsan Facebook HRH Crown Prince of Johor

Warga UTHM perlu fokus pembangunan modal insan

BATU PAHAT: Setiap warga universiti dan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) perlu memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang berdaya maju.

Ia kemudian disusuli penyebaran khidmat profesional yang berkesan serta penyelidikan berkualiti tinggi dan mampu membawa sesuatu yang bermanfaat khususnya kepada Johor.

Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bertitah universiti juga adalah pusat pemikiran yang serius untuk menyumbang kepada kemajuan bangsa, negara dan sejagat.

Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor bertitah, tanggungjawab itu perlulah dilaksanakan secara profesional demi kepentingan bersama dan tidak bersifat individu atau politik.

“Sungguh pun UTHM ini adalah universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi, namun kefahaman sejarah dan nilai agama perlu sentiasa menjadi keutamaan.

“Pelbagai situasi yang berlaku kini di negara ini, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mempunyai sikap memutarbelitkan fakta, suka mereka cipta cerita atau menukar satu kesalahan kepada kebenaran.

“Universiti adalah tempat untuk mencari dan menyampaikan ilmu. Bukan tempat menyebarkan ideologi demi kepentingan individu dan politik,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen UTHM ke-19 di Dewan Sultan Ibrahim UTHM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pro Canselor UTHM, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly.

Seramai 4,699 graduan UTHM menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen selama tiga hari bermula hari ini.

Mereka terdiri daripada 966 graduan diploma, 3,220 graduan ijazah sarjana muda, 395 graduan ijazah sarjana dan 118 graduan menerima ijazah doktor falsafah (phD).

Tunku Ismail yang juga Pro Canselor UTHM bertitah, menyeru semua graduan supaya tidak melupakan jasa universiti itu dengan turut menggiatkan diri dalam aktiviti alumni UTHM.

Titah baginda, graduan perlu sentiasa memberi sokongan kepada UTHM bagi memastikan kecemerlangan terus terpelihara, seterusnya bertambah maju serta boleh membina bangsa dan negara.

“Menjadi cita-cita saya supaya UTHM menjadi universiti terulung dengan menghasilkan graduan berkualiti dan setiap daripada anda yang keluar dari kampus ini menjadi rebutan kerana kelayakan serta penguasaan pengetahuan yang baik.

“Secara tidak langsung, UTHM yang berada di Johor ini menjadi universiti dibanggakan bukan sahaja dalam negara tetapi juga mampu bersaing dengan universiti lain di dunia ini,” titah baginda.

Berita Harian X