Ahad, 20 Oktober 2019 | 7:57pm
BANGKAI seekor gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang ditemui dalam sebuah ladang, di Beluran. NSTP/Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Seekor lagi gajah Pygmy Borneo ditembak mati

BELURAN: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam ladang, dekat sini pagi semalam, dengan kesan tembakan serta gading hilang.

Gajah dewasa terbabit yang dipercayai mati sejak kira-kira tiga hari lalu, ditemui pekerja ladang dengan kedua-dua gading hilang.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga ketika dihubungi berkata, pasukan veterinar dan renjer ke tempat terbabit sebaik saja mendapat maklumat dan masih menjalankan siasatan.

“Pasukan veterinar dan renjer sedang menjalankan siasatan terperinci dan kita belum ada butiran lengkap mengenai kejadian.

“Siasatan awal mendapati gajah ditembak dengan beberapa kesan kecederaan dan gading gajah hilang,” katanya.

Pada 25 September lalu, bangkai seekor gajah Pygmy Borneo ditemui di Sungai Udin, Dumpas, di Tawau dengan 70 kesan tembakan, sebelum enam suspek ditahan dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan haiwan itu.

Berita Harian X